Memupuk minat kanak-kanak terhadap pembelajaran agama

11 Og 2026 - 7:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Nuqra Quranic Learning Centre

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Seramai 40 kanak-kanak berumur enam tahun hingga 12 tahun telah menyertai program cuti persekolahan Nuqra Quest : The Five Pillars yang berlangsung hari ini di Nuqra Quranic Learning Centre (Nuqra), Jerudong.

Program selama setengah hari berkenaan dianjurkan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali dan memahami asas Rukun Islam melalui pendekatan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, interaktif dan sesuai dengan peringkat umur mereka.

Sepanjang program, para peserta mengikuti beberapa aktiviti berkonsepkan mission yang menggabungkan pembelajaran Islam dengan aktiviti hands-on. Antaranya ialah storytelling mengenai Rukun Islam, Crafting Spinner Wheel berkaitan Rukun Islam, DIY Kaabah Squishy serta Treasure Hunt.

Pendekatan berkenaan bertujuan untuk membantu peserta bukan sahaja mengetahui Rukun Islam secara teori, malah memahami nilai dan pengajaran di sebaliknya melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal, kreativiti dan kerjasama berkumpulan.

Program berkenaan juga menjadi salah satu usaha Nuqra dalam menyediakan aktiviti cuti persekolahan yang bermanfaat dengan menggabungkan elemen pendidikan Islam, kreativiti, permainan dan pembentukan sahsiah dalam suasana pembelajaran yang positif.

Pihak Nuqra berharap program seperti Nuqra Quest akan terus menjadi platform untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap pembelajaran agama sejak usia muda, di samping menjadikan pengalaman mempelajari Islam lebih dekat dan menyeronokkan.