Mengiktiraf pencapaian, kecemerlangan akademik pelajar

27 Nov 2026 - 6:57am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. - Sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SA RIPAD) telah mengadakan Majlis Haflut Takharruj dan Penyampaian Hadiah Pelajar Terbaik dan Cemerlang Tahun 2026 bagi meraikan seramai 225 pelajar Sanah 6 dan Sanah 5 atas pencapaian mereka dalam bidang akademik.

Majlis yang diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam itu dihadiri oleh Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd. Hassan, selaku tetamu khas majlis, yang turut menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada para penerima.

Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Dayang Nur Aniqah Mahirah binti Haji Shari, johan Pertandingan Tilawah Al-Quran (Tarannum) Kategori Jim bagi Sekolah-Sekolah Arab, berserta inti sari ayat yang disampaikan oleh Dayang Sarah Emily binti Muhammad Zamir, pelajar Sanah 6 Azraq.

Majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan dan Lagu Rasmi Sekolah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SA RIPAD, Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut, selaku Pengerusi Majlis.

Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian sijil Haflut Takharruj kepada pelajar-pelajar Sanah 6, sijil pelajar cemerlang 5A dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) kepada 48 pelajar, di samping hadiah tiga pelajar terbaik bagi setiap kelas Sanah 6 dan Sanah 5, dan hadiah pelajar terbaik dalam setiap mata pelajaran Sanah 6.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Penghargaan Khas kepada guru-guru cemerlang, Anugerah Guru Dedikasi, Anugerah Khas Pelajar Mutafawwiqah serta Anugerah Khas Pelajar Nasyithah.

Majlis diserikan lagi dengan tayangan video Apresiasi Khas Guru, persembahan sketsa Bahasa Arab dan persembahan puisi bertajuk ‘Kita Satu Keluarga’ oleh pelajar-pelajar Sanah 6, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk meraikan kejayaan dan kecemerlangan para pelajar dalam bidang akademik, malah turut mencerminkan komitmen sekolah dalam membarigakan serta memartabatkan pendidikan Islam dan Arab di Negara Brunei Darussalam.

Pengiktirafan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan serta mengembangkan potensi diri dalam pelbagai bidang.