Meningkatkan kesedaran kaedah mengenal pasti mangsa jenayah pemerdagangan orang

11 Og 2026 - 7:09am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran serta memperkukuh inisiatif membanteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada 22 kakitangan Kedutaan Republik Filipina di NBD yang diadakan di Jalan Kebangsaan, di sini.

Objektif utama taklimat berkenaan adalah untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran para peserta mengenai kaedah mengenal pasti individu yang berpotensi menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang di negara ini.

Pihak penguatkuasa dan agensi barisan hadapan disarankan agar sentiasa berwaspada serta mengenal pasti identiti individu yang berkemungkinan terjebak dan dieksploitasi sebagai mangsa pemerdagangan manusia.

Kerjasama pihak kedutaan selaku agensi berkepentingan amat diperlukan bagi memainkan peranan dalam menangani isu pemerdagangan manusia, di samping bersama-sama membantu PPDB membanteras jenayah berkenaan.