Meningkatkan kesedaran, kesiapsiagaan masyarakat menghadapi situasi kecemasan

18 Og 2026 - 6:12am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Kampung Lumapas ‘A’

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Ogos. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas ‘A’ dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JB) telah mengadakan Kursus Lifesaver yang bertujuan memberikan pengetahuan serta kemahiran asas kepada para peserta dalam menghadapi situasi kecemasan, khususnya berkaitan dengan kebakaran.

Hadir pada kursus berkenaan, Ketua Kampung Lumapas ‘A’, Awang Mohammad Asrin bin Haji Bakar, selaku Pengerusi MPK Lumapas ‘A’.

Turut hadir, Pemangku Penolong Pegawai Balai, Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi ‘D’, Awang Haji Ashri bin Haji Apong, yang turut menyampaikan taklimat mengenai langkah-langkah mencegah kebakaran serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kejadian kebakaran.

Kursus berkenaan turut dihadiri oleh Ahli-ahli MPK Lumapas ‘A’ serta 32 peserta yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Dalam kesempatan berkenaan, Awang Mohammad Asrin menekankan bahawa ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti yang diperoleh melalui kursus berkenaan adalah sangat penting bagi semua pihak.

Menurutnya lagi, setiap orang tidak mengetahui bila sesuatu kejadian kecemasan akan berlaku dan dengan adanya pengetahuan asas mengenai keselamatan serta pencegahan kebakaran, masyarakat akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya pengetahuan asas ‘ani’, ‘kitani’ akan lebih bersedia dan tahu apa tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berhadapan dengan kebakaran,” ujarnya lagi.

Awang Mohammad Asrin turut berharap agar kursus seumpama berkenaan akan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan lagi kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi situasi kecemasan di samping memupuk budaya keselamatan dalam kalangan penduduk kampung.

Kursus berkenaan juga diharap dapat memberi manfaat kepada para peserta dan seterusnya membantu mereka menyebarluaskan pengetahuan yang diperoleh kepada keluarga serta masyarakat setempat.