Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor maritim negara, Anson International Sdn. Bhd. (Anson International) dan SPHI Marine Sdn. Bhd. (SPHI Marine) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai satu langkah penting ke arah meneroka potensi kerjasama dalam industri maritim di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Majlis Penandatanganan MoU tersebut diadakan sempena Minggu Maritim Brunei Darussalam 2026, yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, di sini.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengurus Am Anson International, Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew, manakala SPHI Marine diwakili oleh Pengarah Urusannya, Awang Haji Ibrahim Khalili bin POKLS Dato Seri Setia Haji Abd. Rahman.
MoU ini merupakan satu rangka kerja bagi kedua-dua organisasi untuk mengenal pasti dan meneroka peluang kerjasama dalam bidang perkhidmatan sokongan maritim, penyelenggaraan kapal, perkhidmatan dermaga serta inisiatif berkaitan maritim lain yang memberi manfaat bersama.
Pemeteraian MoU ini turut mencerminkan hasrat bersama Anson International dan SPHI Marine untuk memperkukuh pembangunan kapasiti dalam industri tempatan serta meneroka peluang yang memanfaatkan kepakaran, keupayaan dan pengalaman masing-masing dalam menyokong pembangunan berterusan sektor maritim NBD.
Anson International merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam atas penyediaan platform dan peluang bagi mengadakan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman ini semasa acara Minggu Maritim Brunei Darussalam 2026.