NBD, Malaysia memeterai MoU memperluas kerjasama perbankan

18 Og 2026 - 6:02am

Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri

KUALA LUMPUR, Isnin, 17 Ogos. - AFFIN Group (AFFIN atau the Group) dan Bank Baiduri, bank konvensional terbesar di Negara Brunei Darussalam (NBD) serta ahli Baiduri Bank Group, salah satu penyedia produk dan perkhidmatan kewangan terbesar di negara ini, hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas kerjasama perbankan antara Malaysia dan NBD serta membuka peluang perniagaan yang lebih luas kepada pelanggan di kedua-dua pasaran.

Kerjasama berkenaan menggabungkan keupayaan dan rangkaian perbankan AFFIN di Malaysia dengan francais domestik serta kepakaran pasaran Bank Baiduri di NBD, sekali gus mewujudkan saluran kewangan yang lebih langsung bagi perniagaan yang ingin menjalankan perdagangan, pelaburan dan pengembangan operasi merentasi kedua-dua buah negara.

Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua institusi akan meneroka kerjasama dalam bidang perbankan komersial dan runcit, pembiayaan, pembiayaan perdagangan dan perbendaharaan, serta perkhidmatan pelaburan termasuk perbankan pelaburan, ‘broker’ saham, pengurusan aset dan unit amanah.

Kerjasama berkenaan akan memperluas peluang untuk memudah cara aliran transaksi, menjana perniagaan baharu serta meningkatkan akses kepada penyelesaian kewangan untuk pelanggan di Malaysia dan NBD.

Kerjasama berkenaan hadir ketika hubungan ekonomi antara kedua-dua negara jiran ASEAN terus berkembang. NBD kekal sebagai salah satu rakan dagang utama Malaysia, dengan nilai perdagangan dua hala sebanyak RM5.8 bilion pada 2025 dan RM2.4 bilion bagi separuh pertama 2026.

Kedua-dua negara turut mengenal pasti peluang kerjasama lanjut dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, hubungan dan kesalinghubungan, pertanian, pelancongan serta ekonomi halal. Hubungan ekonomi yang semakin erat antara NBD, Sabah dan Sarawak turut mewujudkan landskap komersial yang lebih luas untuk perniagaan, aliran modal dan aktiviti perdagangan di rantau ini.

Baru-baru ini, keupayaan pembiayaan perdagangan AFFIN telah mendapat pengiktirafan menerusi anugerah Malaysia Domestic Trade Finance Bank of the Year di Asian Banking & Finance Wholesale Banking Awards 2026 dan Best Trade Finance Bank Malaysia di Global Banking & Finance Review Awards 2026.

AFFIN juga tersenarai dalam Fortune Southeast Asia 500 untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kekuatan dan kredibiliti platform yang dibawanya dalam kerjasama berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN Group, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, Malaysia dan NBD mempunyai hubungan ekonomi dan komersial yang kukuh, dengan potensi besar untuk memperluas lagi aliran perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua pasaran.

Jelasnya lagi, AFFIN menggabungkan perbankan konvensional dan Islamik, perbankan pelaburan, pengurusan aset serta pengurusan kekayaan di bawah satu bumbung. Digabungkan dengan rangkaian perniagaan Bank Baiduri yang kukuh di NBD, ia memberikan kami keupayaan yang lebih luas untuk memenuhi keperluan pembiayaan, pelaburan dan kekayaan pelanggan kami.

“MoU ini menyediakan platform untuk memperluas hubungan rentas sempadan dan menghubungkan pelanggan dengan peluang baharu. Dengan hubungan ekonomi antara Malaysia dan NBD yang terus berkembang, termasuk di seluruh Borneo, serta menjelang Visit Brunei Year 2027, kami melihat ruang yang luas untuk memperkukuh aktiviti komersial dan mewujudkan nilai mampan untuk kedua-dua institusi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui pula menjelaskan NBD dan Malaysia sememangnya mempunyai hubungan ekonomi, perniagaan dan hubungan rakyat-ke-rakyat yang erat. Dengan peluang di Malaysia, khususnya di Borneo, yang terus berkembang, AFFIN Group dan Bank Baiduri berada pada kedudukan yang baik untuk memperkukuh hubungan berkenaan serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pelanggan di kedua-dua pasaran.

Kerjasama berkenaan selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28) yang berteraskan tiga tonggak strategik, iaitu Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak. Pelan berkenaan menyokong aspirasi AFFIN untuk menawarkan cadangan pelanggan yang inovatif serta merebut peluang pertumbuhan baharu.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN Group, dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri dan disaksikan oleh Ketua Perbankan Institusi, Bank Baiduri, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah, dan Pengerusi Affin Hwang Investment Bank, Hasli bin Hashim.