Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengadakan Majlis Pelancaran Program Cara Hidup Sihat (PCHS) Kohort 3 yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.
PCHS berkenaan merupakan inisiatif di bawah PPK, Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk membantu peserta yang mengalami obesiti dalam pengurusan berat badan melalui pendekatan gaya hidup sihat selama enam bulan.
Program berkenaan mengamalkan pendekatan menyeluruh dan berstruktur yang menumpukan kepada peningkatan kesihatan fizikal, pemakanan yang sihat dan kesejahteraan kesihatan mental melalui pendidikan kesihatan, preskripsi senaman dan sesi senaman berkumpulan, serta strategi perubahan tingkah laku, disokong dengan pemantauan dan bimbingan berterusan.
Peserta juga diberikan jam tangan digital untuk menjejak aktiviti harian dan status kesihatan.
Pelaksanaan Kohort 3 berkenaan merupakan kesinambungan kepada kejayaan kohort terdahulu dalam menyokong usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit, dan diharapkan dapat membantu peserta membina tabiat sihat yang berkekalan serta diteruskan dalam kehidupan seharian walaupun selepas program berakhir.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Muhammad Nor Azizi Asri bin Noor-Asmali.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus PCHS, Pegawai Perubatan, Dr. Norhanani Nadzirah binti Haji Md. Taib.
Beliau menjelaskan objektif dan hala tuju PCHS Kohort 3 dalam membentuk masyarakat yang lebih sihat dan produktif.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video pelancaran yang memaparkan PCHS serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang perubatan sukan dan senaman, psikologi, pemakanan dan senaman.
PPK, Kementerian Kesihatan berharap agar PCHS Kohort 3 berkenaan dapat memberi manfaat berpanjangan kepada para peserta dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan kesejahteraan kesihatan rakyat negara ini.