Pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 perlu sentiasa responsif, selaras dengan keperluan

9 Og 2026 - 9:29am

Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 telah dikemas kini bagi memastikan ia terus relevan sebagai panduan yang holistik dan bersepadu dalam setiap perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta penilaian ke arah mencapai wawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad memaklumkan perkara tersebut semasa menyampaikan Kenyataan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 : Memperkukuh Penyelarasan Ke Arah Pencapaian Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Terdahulu, menurut Yang Berhormat, sejak tahun 2007, Wawasan Brunei 2035 merupakan hala tuju jangka panjang negara yang menjadi panduan kepada pembangunan negara dan pada tahun 2016, Kerangka Kerja atau Framework Wawasan Brunei 2035 diwujudkan bagi menyokong dan mengukuhkan pelaksanaan wawasan.

Kerangka Kerja tersebut, jelas Yang Berhormat, dihasratkan menjadi landasan bersama bagi memastikan setiap kementerian, agensi serta pihak-pihak berkepentingan bergerak secara bersepadu ke arah merealisasikan dan mencapai matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

Walau bagaimanapun, kata Yang Berhormat, perubahan dan perkembangan di peringkat global serta dalam negara terus mempengaruhi keutamaan pembangunan negara.

“Kita berdepan dengan kemajuan teknologi, perubahan demografi, cabaran perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi, kemunculan peluang-peluang ekonomi baharu serta peningkatan jangkaan rakyat dan penduduk terhadap penyampaian perkhidmatan.

“Oleh itu, pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 perlu sentiasa responsif dan selaras dengan keperluan serta keutamaan semasa. Proses mengemas kini Kerangka Kerja ini tidak terhad kepada sektor kerajaan sahaja, malah turut melibatkan Ahli-ahli Yang Berhormat Yang Dilantik. Saranan, maklum balas dan cadangan yang dikemukakan turut dihargai dalam usaha mengukuhkan Kerangka Kerja tersebut,” jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat menyambut baik elemen-elemen Kerangka Kerja ini juga telah dijadikan bahan perbincangan dan perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat semasa perbahasan usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat berkata, keperluan untuk terus memperkukuh pendekatan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 turut ditekankan, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035 pada 18 April 2026, di mana baginda antara lain bertitah :

“Beta ingin menegaskan bahawa penetapan KPI yang tepat sahaja tidak mencukupi. Penyelarasan adalah merupakan elemen yang kritikal kerana ia menentukan sama ada pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation benar-benar terlaksana atau kekal sebagai hasrat di atas kertas. Juga sangat penting ialah untuk memastikan setiap KPI diselaraskan sebagai satu sistem yang bersepadu dan tindakan dapat dikesan sumbangannya dalam pencapaian aspirasi negara”.

Sebagai satu panduan strategik, tambah Yang Berhormat, Kerangka Kerja tersebut merangkumi tiga Matlamat yang mencerminkan aspirasi negara, berpandukan lapan Keutamaan Kebangsaan, disokong oleh 13 Hasil Pencapaian Kebangsaan dan diukur melalui 42 Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan. Kejayaan ketiga-tiga Matlamat Wawasan Brunei menjelang 2035 diukur melalui beberapa aspirasi.

“Bagi Matlamat 1, Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, kita menggunakan pengukur Global Talent Competitiveness Index atau GTCI bagi menggambarkan kualiti dan bakat modal insan negara. Sasarannya adalah bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) mencapai kedudukan dalam 25 peratus teratas menjelang tahun 2035. Setakat tahun 2025, kita berada di kedudukan 32 peratus negara teratas.

“Bagi Matlamat 2, Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi, kita menggunakan pengukur Indeks Pembangunan Manusia atau Human Development Index di bawah United Nations Development Programme atau UNDP.

“Sasarannya adalah bagi Negara Brunei Darussalam mencapai kedudukan dalam 10 negara teratas menjelang tahun 2035. Setakat tahun 2023, kita berada di kedudukan ke-60, namun secara konsisten negara kita sudah terkandung dalam kategori “Very High Human Development”,” kata Yang Berhormat.

Bagi Matlamat 3, Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan, tambah Yang Berhormat, negara menggunakan dua pengukur iaitu dari segi Pendapatan Per Kapita, dengan sasaran NBD mencapai kedudukan dalam 10 negara teratas menjelang tahun 2035 serta dalam bentuk kepelbagaian ekonomi dan daya saing pasaran menurut Herfindahl-Hirschman Index (HHI) di mana sasarannya adalah bagi NBD mencatat nilai HHI di bawah 1,500 menjelang tahun 2035.

Setakat tahun 2024, negara telah berada di kedudukan lapan teratas bagi dari segi Pendapatan Per Kapita, manakala, setakat tahun 2025, perkiraan skor HHI negara adalah 2,265, yang menunjukkan konsentrasi pasaran ekonomi masih di tahap yang sederhana tinggi.

Dengan mengambil kira ketiga-tiga Matlamat Wawasan yang saling berhubung dan berkait rapat antara satu sama lain, kejayaan memerlukan pendekatan Whole-of-Government dengan memperkukuh keberkesanan kerjasama antara kementerian dan agensi.

“Selaras jua dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena rombakan Menteri-menteri Kabinet pada 4 Jun yang lalu, titah baginda telah memberikan mandat kepada Menteri-menteri Penyelaras untuk mengeluarkan arahan yang bersesuaian bagi menyelaraskan tindakan kementerian-kementerian berkenaan dalam menangani isu-isu kepentingan negara yang bersifat ‘cross-cutting’,” kata Yang Berhormat.