Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Sektor pelancongan mempunyai nilai strategik yang jelas, ia bukan sekadar satu komponen penjanaan ekonomi, malah merupakan pemangkin yang menghubungkan pelbagai aktiviti bernilai tambah termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, pertanian, perikanan, perusahaan kreatif, kraftangan, perdagangan dan perkhidmatan digital.
Ini dinyatakan oleh Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa berucap pada Kenyataan Menteri ‘Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan Seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year) 2027’ pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.
Pada permesyuaratan tersebut juga, Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri juga berkata setiap pelawat yang mengunjungi negara ini berpotensi menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang menyumbang kepada ‘spill-over’ aktiviti perekonomian lain yang dapat dinikmati oleh perniagaan tempatan, komuniti dan rakyat secara lebih inklusif.
Sehubungan itu, ujar Yang Berhormat, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri terus memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan selaras dengan Brunei Darussalam Economic Blueprint dan Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan Negara Brunei Darussalam 2024 hingga 2035 yang mana hala tuju kita bukan semata-mata mengejar jumlah ketibaan tetapi matlamat yang lebih strategik ialah membangunkan pelancongan bernilai tinggi dan pulangan tinggi; pelawat tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak, menggunakan lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan, dan seterusnya memastikan nilai ekonomi tersebut kekal serta beredar dalam negara.
“Alhamdulillah, perkembangan semasa menunjukkan momentum yang menggalakkan. Setakat bulan Jun, hampir 400,000 ketibaan pelancong telah direkodkan melalui udara, laut dan darat, iaitu peningkatan 7.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025. Ketibaan melalui laut pula meningkat sekitar 69 peratus, mencerminkan potensi yang semakin besar dalam segmen pelancongan persiaran,” terang Yang Berhormat.
Setakat kini, menurut Yang Berhormat lagi, jumlah ketibaan kapal persiaran dijangka meningkat daripada 15 buah kapal dengan hampir 30,000 pelawat pada tahun 2025 kepada sekitar 34 buah kapal yang membawa hampir 65,000 pelawat dan daripada jumlah tersebut, lapan buah merupakan kapal persiaran mewah sekali gus mencerminkan keyakinan pengendali antarabangsa terhadap daya tarikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi persiaran yang berkualiti, malah membuka peluang kepada industri perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, makanan dan minuman, penggiat seni, kraftangan, cenderamata serta pembangunan komersial terutama sekali di kawasan Pekan Muara dan Serasa.
Yang Berhormat justeru menjelaskan namun demikian, momentum ini perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih tinggi.
Tegas Yang Berhormat, pelawat mungkin tiba, tetapi jika mereka hanya singgah sebentar, sukar menemui atau menempah aktiviti, tidak mempunyai pilihan pembayaran yang mudah, atau tidak mengetahui apa lagi yang boleh dilakukan di negara ini, peluang ekonomi tersebut akan terlepas.
Oleh itu, jelas Yang Berhormat, tumpuan dasar bermula dari usaha ‘membawa pelawat masuk’ kepada memastikan keseluruhan perjalanan pelawat, daripada sebelum ketibaan sehingga mereka meninggalkan negara adalah mudah, tersusun, berkualiti dan memberi pulangan kepada ekonomi tempatan.
“Ini bermakna keseluruhan perjalanan pelawat perlu dilihat sebagai satu rantaian yang saling berkait: bagaimana mereka mengetahui tentang Brunei; bagaimana mereka membanding dan menempah pakej; bagaimana pengalaman mereka di pintu masuk; bagaimana mereka bergerak dalam negara; bagaimana mereka membayar; bagaimana mereka dilayan; dan akhirnya, apakah pengalaman yang mendorong mereka untuk tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak serta mempromosikan Brunei kepada orang lain,” tambah Yang Berhormat menjelaskan.