Oleh : Aimi Sani
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Dalam keadaan kita sekarang, kita perlu melihat Wawasan Brunei 2035 bukan lagi sebagai satu aspirasi yang jauh di hadapan tetapi sebagai satu amanah yang memerlukan tindakan segera, tersusun dan berkesan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau dalam Usul Penangguhan pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Dalam hal ini, Yang Berhormat melihat kewujudan Menteri-menteri Penyelaras sebagai satu langkah strategik yang berpotensi memperkukuhkan penyelarasan, mengurangkan ‘pertindihan’ usaha serta mempercepatkan pelaksanaan agenda-agenda utama negara.
Yang Berhormat menzahirkan kepercayaan bahawa dengan adanya penyelarasan yang lebih jelas di peringkat kepimpinan, isu-isu yang merentas kementerian dapat ditangani dengan lebih pantas. Keputusan dapat diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan dapat dipantau dengan lebih berkesan. Kita perlu berani menyelesaikan masalah telah lama berlarutan, berani memperbaiki perkara yang kurang berkesan dan berani mencuba pendekatan baharu apabila pendekatan lama tidak lagi memberikan hasil yang diharapkan.
Yang Berhormat dalam pada itu turut menyentuh mengenai perkembangan dan kemajuan di Daerah Temburong. Tidak dapat dinafikan bahawa Daerah Temburong telah mengalami arus pembangunan yang semakin ketara khususnya dari segi infrastruktur dan kemudahan awam. Perubahan ini merupakan satu perkembangan yang amat baik dan menunjukkan perhatian serta komitmen kerajaan dalam memastikan Daerah Temburong turut bergerak seiring dengan pembangunan negara.
Namun begitu kata Yang Berhormat lagi, pembangunan tidak semestinya bergerak pada kadar yang sama. Ada masanya perubahan dapat dirasakan dengan begitu pantas dan ada juga ketika perkembangannya mengambil masa yang lebih panjang. Dalam masa yang sama, kedudukan Daerah Temburong yang bersempadan dengan negara jiran yang juga sedang berkembang dan pesat memberikan satu perspektif yang berbeza terhadap arah dan kadar pembangunan di kawasan ini.
Keadaan ini pada pandangan Yang Berhormat, bukanlah satu yang perlu dilihat sebagai pesaingan semata-mata tetapi sebagai satu peringatan dan peluang untuk kita menilai semula bagaimana pembangunan Daerah Temburong dapat dirancang dengan lebih tersusun, menyeluruh dan berpandangan jauh.
“Masih banyak ruang yang boleh kita perbaiki, khususnya dalam mengatur pembangunan supaya bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal tetapi turut merangkumi peluang ekonomi, pekerjaan, pelancongan, pendidikan, keusahawanan, kemudahan digital serta pembangunan masyarakat setempat.
“Di sinilah pada pandangan kaola, pendekatan Whole of Nation amat diperlukan. Pembangunan Daerah Temburong seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu kementerian atau satu agensi sahaja. Kita memerlukan pemikiran dan penyelarasan daripada pelbagai pihak kerajaan, sektor swasta, komuniti tempatan, pelabur, anak-anak muda, institusi-institusi pendidikan serta masyarakat setempat.
“Setiap pembangunan yang dilaksanakan hendaklah mempunyai kesinambungan, infrastruktur perlu disokong dengan aktiviti ekonomi, peluang pelancongan perlu disambungkan kepada perusahaan tempatan, potensi alam dan budaya perlu diterjemahkan kepada sumber pendapatan masyarakat dan anak-anak Daerah Temburong sendiri perlu diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan tersebut, kerana pembangunan yang sebenar bukan sekadar mengubah rupa sesuatu tempat tetapi mengubah peluang dan masa depan masyarakat yang tinggal di dalamnya,” kata Yang Berhormat.
Oleh itu, Yang Berhormat berharap agar pembangunan Daerah Temburong dapat terus diperkasakan melalui satu perancangan yang lebih menyeluruh, merentas kementerian dan melibatkan seluruh pemegang kepentingan. Bukan kita mahu bergerak lebih pantas daripada orang lain semata-mata tetapi kita mahu memastikan bahawa setiap langkah yang kita ambil adalah langkah yang tepat, tersusun dan membawa manfaat yang berkekalan kepada rakyat Daerah Temburong dan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sementara itu tambah Yang Berhormat, dalam era globalisasi internet, bukan lagi sekadar kemudahan komunikasi tapi telah menjadi infrastruktur asas yang menggerakkan aktiviti ekonomi, pendidikan, sosial, perniagaan dan Perkhidmatan Awam. Justeru, usaha memperkukuhkan kualiti dan akses internet amat penting demi kesejahteraan rakyat serta daya saing negara.
Oleh yang demikian, Yang Berhormat menzahirkan harapan agar pihak yang berkenaan dapat terus meneliti struktur harga perkhidmatan ‘internet’ di negara ini termasuk kemungkinan untuk menyediakan pakej yang lebih komprehensif, kompetitif, fleksibel dan mampu milik.
Terdahulu, Yang Berhormat turut menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan, kepimpinan dan pandangan jauh baginda dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Yang Berhormat dalam ucapannya turut menyambut baik segala pencapaian yang telah dicapai melalui Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 sebagaimana yang telah dinyatakan. Namun, penyampaian tersebut janganlah hanya dilihat melalui angka statistik atau kedudukan dalam indeks tetapi yang lebih penting ialah sejauh mana pencapaian dalam kerangka kerja tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata dan benar-benar dirasai oleh rakyat kerana kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar apa yang tercatat di dalam indeks dan kerangka kerja tetapi apa yang benar-benar dapat dilihat dirasai dan dinikmati oleh rakyat.