Pembukaan 80 Kali Khatam Al-Quran sempena Puja Usia Raja Isteri

9 Og 2026 - 7:12am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Bersempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu mengadakan Majlis Pembukaan Bacaan 80 Kali Khatam Al-Quran sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala serta menjunjung kasih sempena Puja Usia baginda bagi Tahun 2026, petang tadi.

Majlis tersebut berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Mata-Mata (Kawasan 3).

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah secara beramai- ramai yang dipimpin oleh isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee selaku Ketua Ahli Jawatankuasa Keagamaan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran serta bacaan juzuk pertama secara beramai-ramai. Bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh isteri Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Noraini binti Haji Buntar.

Majlis ini merupakan acara tahunan yang diungkayahkan oleh Kumpulan Isteri sebagai salah satu pengisian keagamaan bersempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Bersempena Sambutan Puja Usia baginda pada tahun ini, majlis tersebut diserikan dengan penyertaan 80 pelajar terpilih yang berumur antara 13 hingga 18 tahun, terdiri daripada anak-anak yatim serta pelajar penerima bantuan di bawah Skim SER yang terpilih dari SUAMPRIPAHS dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Program bacaan Al-Quran ini akan diteruskan sehingga Majlis Khatam Al-Quran, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat pada 6 Oktober 2026. Penyertaan pelajar-pelajar berkenaan dalam menjayakan bacaan Al-Quran 80 Kali Khatam ini adalah sebagai pesambah doa memohon agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kebahagiaan, kesejahteraan serta kekuatan untuk terus berangkat memayungi rakyat dan negara.

Bacaan Doa turut dipanjatkan agar Negara Brunei Darussalam terus dilimpahi rahmat, keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Di samping melambangkan kecintaan terhadap kalam Allah Subhanahu Wata'ala, penyertaan mereka turut mencerminkan usaha berterusan dalam menyemai nilai-nilai keagamaan serta membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran majlis ini merupakan manifestasi rasa syukur atas limpah kurnia Allah Subhanahu Wata'ala kepada negara yang terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan di bawah naungan institusi beraja.

Di samping menggalakkan masyarakat, khususnya golongan belia, untuk memperkukuh hubungan dengan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Majlis ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu dalam mendukung usaha memperkasakan Syiar Islam, memupuk kecintaan terhadap Al-Quran serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat melalui penghayatan nilai-nilai Islam di negara ini selaku sebuah Negara Zikir.