Penggubalan Kod Etika, Tatakelakuan Ahli MMN kukuhkan institusi majlis

9 Og 2026 - 7:27am

Oleh : Norliah Md. Zain

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) merupakan satu perkembangan yang penting dalam memperkukuhkan institusi majlis.

Kod ini menetapkan satu standard yang jelas mengenai tanggungjawab dan tatakelakuan ahli-ahli yang mana nilai terbesar bukan sahaja terletak kepada standard yang ditetapkan tetapi kepada bagaimana standard tersebut akan membentuk budaya dan perkembangan majlis ini di masa hadapan.

Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, berkata demikian ketika membincangkan dan menyokong Penggubalan Dokumen Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Penggubalan Kod Etika itu jelas Yang Berhormat, merupakan satu perkembangan yang penting dalam memperkukuhkan institusi majlis.

“Kod ini menetapkan satu standard yang jelas mengenai tanggungjawab dan tatakelakuan ahli-ahli yang mana nilai terbesar bukan sahaja terletak kepada standard yang ditetapkan tetapi kepada bagaimana standard tersebut akan membentuk budaya dan perkembangan majlis ini di masa hadapan,” jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat berpandangan bahawa setiap institusi yang dihormati mempunyai dua perkara yang sentiasa dipelihara iaitu peraturan dan budaya institusi. Peraturan boleh digubal dalam tempoh yang singkat tetapi budaya hanya terbentuk melalui amalan yang konsisten dalam tempoh yang panjang.

Dalam hubungan ini, Yang Berhormat melihat Kod Etika ini sebagai titik permulaan kepada pembentukan budaya tersebut, apabila satu prinsip diamalkan secara berterusan, akhirnya dapat menjadi standard institusi.

Yang Berhormat kemudian menyentuh mengenai kelaziman apabila membincangkan mengenai Kod Etika, perhatian tertumpu kepada persoalan sama ada sesuatu tindakan mematuhi ataupun melanggar peraturan, yang pada pandangan Yang Berhormat, tanggungjawab seorang ahli jauh lebih luas daripada memastikan sesuatu tindakan mematuhi peraturan.

Yang Berhormat seterusnya berpandangan bahawa nilai sebenar kod ini ialah keupayaannya untuk memperkukuhkan kualiti pertimbangan, yang mana kod ini perlu membantu Ahli Yang Berhormat membuat pertimbangan yang bukan sahaja sah dari sudut peraturan, tetapi juga selaras dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai Ahli MMN.

“Semakin tinggi amanah yang dipikul seseorang Ahli Yang Berhormat, semakin besar keperluan untuk setiap keputusan dipandu oleh prinsip dan bukan bergantung kepada apa yang dinyatakan secara khusus dalam sesuatu peraturan,” jelas Yang Berhormat.

Selain itu, Yang Berhormat juga melihat bahawa Kod Etika ini membuka ruang kepada pembentukan memori institusi. Keanggotaan MMN akan sentiasa berubah dan ahlinya datang daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan bidang kepakaran, namun identiti MMN tidak boleh berubah mengikut pertukaran keanggotaannya.

Oleh demikian kata Yang Berhormat lagi, pengalaman yang diperolehi daripada pelaksanaan kod ini mempunyai nilai yang besar kepada MMN.

Pada pandangan Yang Berhormat, setiap penelitian terhadap suatu persoalan etika, tafsiran terhadap prinsip yang terkandung dalam kod dan pengalaman diperolehi daripada pelaksanaannya, merupakan pengetahuan institusi yang perlu terus dipelihara.

Dengan pendekatan sedemikian jelas Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat bukan sahaja mewarisi sebuah Kod Etika, tetapi turut mewarisi kefahaman institusi mengenai bagaimana prinsip-prinsip tersebut boleh diamalkan sepanjang perkembangan MMN.

Yang Berhormat juga mengambil perhatian bahawa usul berkenaan memperuntukkan semakan berkala terhadap Kod Etika yang pada pandangan Yang Berhormat, semakan tersebut mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar mengemaskinikan kandungan kod.

Peranan Ahli Yang Berhormat sendiri tambah Yang Berhormat, semakin berkembang di mana Ahli Yang Berhormat bukan sahaja membahaskan dasar di dewan ini tetapi semakin aktif dalam diplomasi antara parlimen, hubungan dengan organisasi antarabangsa, dialog bersama sektor swasta, institusi akademik, badan profesional serta masyarakat.

Dalam masa yang sama ujar Yang Berhormat, perkembangan teknologi turut mengubah cara Ahli Yang Berhormat berkomunikasi, mengurus maklumat dan melaksanakan tanggungjawab mereka. Oleh itu, semakan berkala perlu menjadi ruang untuk MMN menilai bagaimana prinsip yang sama boleh terus dapat digunakan secara konsisten dalam keadaan yang sentiasa berubah.

Menyentuh mengenai pindaan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, supaya draf Kod Etika dan Tatakelakuan dirujuk kepada satu jawatankuasa untuk diteliti dan diperhalusi sebelum dikemukakan semula kepada MMN dalam tempoh enam bulan, Yang Berhormat menjelaskan penelitian lanjut tidak mengubah matlamat utama penggubalan kod berkenaan, sebaliknya, tempoh tersebut boleh memberikan ruang untuk memastikan prinsip-prinsip yang telah digariskan dapat diterjemahkan melalui tatacara yang jelas, difahami bersama dan dapat dilaksanakan secara konsisten.

Yang Berhormat berpandangan bahawa kekuatan sesuatu kod bukan sahaja terletak kepada apa yang tertulis tetapi kepada bagaimana ia difahami dan akhirnya menjadi sebahagian daripada budaya institusi.

Oleh itu, apa yang penting kata Yang Berhormat, ialah hasilnya nanti bukan sahaja sebuah kod yang lengkap dari segi kandungan tetapi sesuatu kerangka yang dapat dilaksanakan dengan baik dan terus relevan dengan perkembangan MMN.