Pengisytiharan kepentingan ditetapkan sebagai suatu kewajipan

9 Og 2026 - 7:40am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengambil maklum perlunya bahasa dalam Perkara 6.1.2 dan Perkara 6.1.5 diselaraskan agar pengisytiharan kepentingan ditetapkan dengan jelas sebagai suatu kewajipan.

Tumpuan Yang Berhormat ialah pada tatacara yang perlu dilaksanakan selepas kewajipan tersebut ditetapkan.

Demikian jelas Yang Berhormat semasa membincangkan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Tambah Yang Berhormat lagi, pengisytiharan tidak bermaksud bahawa suatu kesalahan telah berlaku, sebaliknya, ia merupakan langkah awal untuk mengurus konflik kepentingan secara telus apabila kepentingan peribadi, kewangan, perniagaan atau hubungan tertentu berkaitan secara langsung dengan perkara yang sedang dipertimbangkan.

Tatacara yang seragam kata Yang Berhormat, akan mengelakkan keputusan dibuat secara berbeza bagi keadaan yang hampir sama.

Pada masa yang sama tambah Yang Berhormat lagi, rekod yang teratur dapat melindungi ahli dan majlis dengan menunjukkan bahawa konflik atau persepsi konflik telah dikenal pasti serta diuruskan secara konsisten, di samping melindungi ahli dan kewibawaan majlis.