Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Ihsan Zaini Haji Salleh
LIMBANG, SARAWAK, Isnin, 17 Ogos. – Setelah sekian lama terpisah dan menetap di beberapa kawasan, ahli keluarga keturunan Keluarga Sakinah dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Sabah, Labuan dan Limbang, Sarawak akhirnya berkesempatan untuk berhimpun dalam satu majlis kekeluargaan yang penuh bermakna.
Perhimpunan Keluarga Sakinah yang diadakan baru-baru ini di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang, Sarawak, bertujuan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahli keluarga, di samping mempertemukan semula saudara-mara yang telah sekian lama tidak bersua.
Selain menjadi wadah untuk mengumpulkan ahli keluarga yang berada di beberapa buah kawasan, perhimpunan berkenaan turut memberi peluang untuk mengumpul dan melengkapkan data serta maklumat mengenai salasilah Keluarga Sakinah yang masih belum direkodkan secara terperinci.
Pertemuan berkenaan juga membuka ruang kepada ahli keluarga, khususnya generasi yang lebih muda, untuk saling mengenali dengan lebih dekat, bertukar cerita mengenai asal usul keluarga serta berkongsi pengalaman dan kenangan bersama.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Kampung Sungai Bunga, Tanjong Kindana dan Pulau Baru-Baru, Awang Zaini bin Haji Salleh, yang juga merupakan salah seorang ahli Keluarga Sakinah.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil bagi memperingati dan mendoakan ahli keluarga Keluarga Sakinah yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, selaku tetamu kehormat majlis, yang juga merupakan salah seorang daripada keturunan Keluarga Sakinah.
Perhimpunan berkenaan bukan sahaja menjadi medan untuk menemukan kembali saudara-mara yang telah lama terpisah, malah menjadi satu usaha penting dalam memelihara hubungan kekeluargaan dan mengenali salasilah keturunan agar tidak hilang ditelan zaman.
Dengan adanya perhimpunan sedemikian, diharapkan hubungan antara ahli keluarga Keluarga Sakinah akan terus diperkukuhkan dan menjadi satu tradisi yang dapat diteruskan oleh generasi akan datang.