Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Azmah Haji Ahad
JERUDONG, Sabtu, 8 Ogos. - Pertunjukan dron yang menghiasi langit di sekitar Jerudong Park Garden, diikuti dengan pertunjukan bunga api yang penuh warna-warni memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026.
Pertunjukan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 bagi peringkat Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Jerudong Park Country Club Sdn. Bhd (JPCC); Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam; Imagine Sdn. Bhd. dan Hengyi Industries Sdn. Bhd.
Berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Jerudong Park Garden, acara berkenaan berjaya menarik kehadiran orang ramai, termasuk keluarga dan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat bagi sama-sama meraikan Sambutan Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun ini. Acara ini juga dimeriahkan dengan penyertaan lebih 50 gerai jualan dari pengusaha-pengusaha tempatan serta persembahan pentas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Acara sambutan berkenaan bertujuan memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di seluruh negara, di samping menyemai semangat perpaduan, kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
JPCC dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Jawatankuasa Sambutan Perayaan bagi peringkat Daerah Brunei dan Muara, Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Imagine Sdn. Bhd., Hengyi Industries Sdn. Bhd., Jabatan Penjara, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Balai Polis Sengkurong, Balai Bomba dan Penyelamat Jerudong, pasukan paramedik, para pengusaha gerai, penghibur, rakan-rakan strategik serta orang ramai atas sokongan, kerjasama dan penyertaan dalam menjayakan sambutan berkenaan.