PGGMB meterai MoU tajaan bantuan yuran persekolahan

11 Og 2026 - 7:31am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Persatuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) memeterai Perjanjian Kerjasama (MoU) bersama Dr. Ganasan Subramaniam dan keluarga bagi membantu murid-murid di sekolah-sekolah PGGMB melalui Tajaan Bantuan Yuran Persekolahan bagi Tahun 2026-2027.

Seramai empat orang murid telah dipilih untuk menerima tajaan tersebut, iaitu Awang Mohamad Aryan Rizziq bin Abd. Hai’y dari Sekolah PGGMB Sungai Akar; Awang Ahmad Raqib Mujahid bin Abdul Gafur dari STJ PGGMB Lambak; Dayang Nur Nasyahidah binti Awang Mohammad Hafizhu Nurul Alamin dari STJ PGGMB Madang; dan Dayang Nur’aina Humaira binti Abdullah dari STJ PGGMB Kuala Belait.

Hadir pada majlis tersebut ialah Dr. Ganasan Subramaniam selaku penaja bantuan; Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri; Setiausaha Agung PGGMB, Awang Yakub bin Haji Abdul Rahman; guru-guru besar sekolah-sekolah PGGMB, ibu bapa dan murid-murid penerima tajaan serta Ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi (JKTT) PGGMB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan ringkas daripada Yang Dipertua PGGMB, ucapan daripada penaja bantuan, dan seterusnya penyampaian Sijil Tajaan kepada para murid yang terpilih.

Dalam ucapannya, Yang Dipertua PGGMB menjelaskan bahawa tajaan bantuan yuran persekolahan tersebut diharap dapat memberikan motivasi kepada murid-murid untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan akademik.

Beliau turut menyeru ibu bapa agar sentiasa membantu serta memantau pembelajaran anak-anak mereka secara berterusan. Selain itu, guru-guru besar sekolah yang terlibat akan menyediakan laporan prestasi akademik murid penerima tajaan pada setiap penggal persekolahan.

PGGMB berharap bantuan berkenaan akan dapat meringankan beban kewangan ibu bapa serta menjadi dorongan kepada murid-murid untuk memperoleh pendidikan yang lebih baik dan bermakna demi masa depan mereka.