Produk pelancongan perlu diperkasa menerusi platform digital

11 Og 2026 - 9:04am

Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Pelawat hari ini mencari, membanding, menempah dan membayar melalui saluran digital. Oleh itu, produk Brunei perlu berada di platform yang digunakan oleh pasaran, bukan sekadar menunggu pelanggan menemui kita.

Penyedia Perkhidmatan Pelancongan (Tourism Service Providers) dan ejen-ejen pelancongan tempatan perlu mengambil peluang daripada Online Travel Agencies atau OTAs serta platform seperti Explore Brunei dan Program Nakhoda yang mana Program Nakhoda telah menghimpunkan lebih daripada 600 produk dan perkhidmatan pelancongan. Namun, platform hanya akan memberi hasil apabila produk sentiasa dikemas kini, mempunyai penerangan dan visual yang menarik, harga serta ketersediaan yang jelas, boleh ditempah dengan mudah, dan disokong oleh tindak balas yang cepat kepada pelanggan.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa berucap pada Kenyataan Menteri: ‘Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan Seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year) 2027’ pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri selanjutnya menjelaskan ejen pelancongan tidak seharusnya hanya mengulang pakej yang sama atau bergantung sepenuhnya kepada promosi kerajaan tetapi mereka juga perlu melabur dalam pemasaran digital, membina kerjasama dengan OTAs, menggunakan data pelanggan, dan menghasilkan pakej ‘inbound’ yang lebih kreatif serta kompetitif dan ini termasuk menggabungkan alam semula jadi, budaya, pengembaraan, gastronomi, warisan Islam, membeli-belah, sukan, acara dan pengalaman komuniti ke dalam itinerari berbilang hari.

“Sebagai contoh, pelawat persiaran yang lazimnya mempunyai masa terhad boleh diberikan pilihan itinerari yang tersusun dan mudah dibeli sebelum tiba. Pelawat transit pula boleh ditawarkan pakej setengah hari, satu malam atau dua malam. Pelawat keluarga, pencinta alam, peminat fotografi, pelancong pendidikan dan pelawat yang bergiat dalam aktiviti ‘birdwatching’ perlu mempunyai produk yang sesuai dengan minat masing-masing. Lebih banyak pilihan berkualiti akan memberikan lebih banyak sebab untuk pelawat tinggal dan berbelanja,” terang Yang Berhormat.

Dalam hal ini, jelas Yang Berhormat, Explore Brunei dan Program Nakhoda dapat berfungsi sebagai pintu masuk digital kepada produk tempatan, manakala OTAs menjadi saluran untuk memperluas capaian ke pasaran antarabangsa. Kementerian dan agensi berkaitan boleh membantu dari segi pemudahcaraan, latihan dan promosi bersama, namun pihak industri sendiri perlu mengambil tanggungjawab komersial untuk meningkatkan kandungan, mengurus inventori dan menukar minat kepada jualan.

Ke arah ini tambah Yang Berhormat lagi, usaha ini diperkukuhkan lagi melalui Tourism Information Management System atau TIMS, iaitu sebuah ‘dashboard’ digital yang mengintegrasikan data daripada sumber seperti E-Arrival Card dan data penginapan untuk memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai profil pelawat, corak perbelanjaan dan ketibaan serta permintaan pasaran yang datang ke negara ini dan pada masa ini, sebanyak 60 premis penginapan telah menggunakan platform ini. Liputan dan kualiti data akan terus dipertingkatkan supaya keputusan mengenai promosi, pembangunan produk, kapasiti pengangkutan, tenaga kerja dan pelaburan dibuat berdasarkan bukti.