Pupuk nilai kepimpinan, sahsiah positif pelajar

10 Og 2026 - 4:36am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Ogos. - Seramai 56 orang pelajar Tahun 4 bersama 35 orang guru pengawas dan kakitangan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah berjaya menamatkan Program Kepimpinan Jati Diri Pelajar Tahun 4 yang berlangsung selama dua hari satu malam, bermula 8 hingga 9 Ogos 2026.

Program berkenaan diadakan di bangunan dan tapak perkhemahan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan dianjurkan oleh Guru-Guru Tahun 4 dengan bantuan ahli Pengakap selaku fasilitator aktiviti.

Program tersebut bertujuan untuk memupuk nilai kepimpinan, disiplin diri, kerjasama berpasukan serta membentuk jati diri dan sahsiah positif dalam kalangan pelajar.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup bagi program tersebut ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para peserta serta fasilitator.

Turut hadir ialah pengetua sekolah, Dayang Hajah Hafizah binti Haji Salat; penolong pengetua; guru-guru serta ibu bapa dan penjaga para peserta.

Dalam ucapannya, pengetua sekolah menekankan bahawa program seumpama itu amat penting dalam membentuk generasi yang mempunyai daya kepimpinan, berdedikasi dan bertanggungjawab.

Beliau berharap agar segala ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program dapat dimanfaatkan oleh para peserta untuk membentuk diri menjadi individu yang lebih cemerlang serta mampu menyumbang secara positif kepada sekolah, keluarga dan masyarakat.

Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang mencabar minda dan fizikal bagi membina keyakinan diri, ketahanan serta semangat berpasukan.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ‘team building’, pemasangan khemah, pelbagai simpulan dan ikatan tali, menyalakan api, aktiviti mencari jejak, mengenal pasti tanda-tanda bagi membantu ketika tersesat di hutan serta aktiviti memanjat tembok.

Selain itu, para peserta turut berpeluang mengikuti aktiviti ‘stargazing’ yang dikendalikan oleh Persatuan Astronomi, di samping menyertai aktiviti sukan dan kempen kebersihan.

Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti berkenaan bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada para peserta, malah turut menggalakkan mereka mengamalkan nilai kerjasama, setia kawan, disiplin, keberanian dan berdikari, termasuk dalam aspek pengurusan diri serta menjaga kebersihan diri dan kawasan perkhemahan.

Wakil peserta, Absar, ketika berkongsi pengalamannya berkata program tersebut memberikannya keyakinan untuk lebih berani berkomunikasi dan membantu rakan-rakan.

“Saya sangat seronok. Saya belajar untuk lebih berani bercakap dan membantu kawan. Saya mahu menjadi seorang ketua yang baik dan berwibawa”.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Perkhemahan, Cikgu Afny, menjelaskan bahawa program tersebut dirancang bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki jati diri, kepimpinan dan sahsiah yang terpuji.

Menurut beliau, objektif program telah berjaya dicapai hasil kerjasama semua pihak yang terlibat.

Program berkenaan berlangsung dengan lancar dan selamat serta memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta dalam membina keyakinan diri, kepimpinan dan semangat kerjasama, ujarnya.