Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong
SENGKURONG, Selasa, 18 Ogos. - Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali (MSSA) Kampung Sengkurong baru-baru ini telah mengadakan siri terakhir bagi program pembangunan belia ‘The Journey Back to Allah’ yang membawa tema ‘POV : You’re Built for More’ bertempat di MSSA, Kampung Sengkurong.
Program yang telah dihadiri oleh seramai 33 belia ini merupakan kesinambungan daripada siri-siri sebelumnya yang bertujuan menyediakan ruang kepada golongan belia untuk melakukan refleksi diri, membina kesedaran rohani serta menggalakkan mereka untuk terus memperbaiki diri dalam perjalanan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran peserta terhadap kebolehan dan kelebihan yang terdapat dalam diri masing-masing, di samping menggalakkan mereka untuk terus mengembangkan potensi diri secara positif.
Selain itu, program ini turut menekankan kepentingan menggunakan kebolehan yang dimiliki untuk memberi manfaat kepada orang lain dan masyarakat, selaras dengan konsep bahawa setiap individu mempunyai kelebihan dan peranan yang boleh disumbangkan kepada sekeliling.
Program dimulakan dengan sesi perkongsian mengenai potensi diri serta kepentingan mengenal pasti dan menggunakan kekuatan serta kelebihan masing-masing untuk memberi sumbangan kepada orang lain.
Sesi tersebut disampaikan oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Media Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA Kampung Sengkurong, Dayang Dalili Bazilah binti Haji Jailani dan Ketua Media Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA Kampung Sengkurong, Dayang Norsafina binti Awang Adi.
Perkongsian tersebut memberi penekanan kepada usaha mengenali diri sendiri, menghargai kelebihan yang dikurniakan serta melihat potensi diri bukan sekadar untuk pencapaian peribadi, tetapi sebagai satu amanah yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan orang lain.
Selain sesi perkongsian, peserta turut berpeluang menyertai aktiviti interaktif dan sesi refleksi yang memberi peluang kepada mereka untuk mengenal pasti kekuatan diri, merenung perkembangan peribadi serta memikirkan bagaimana kebolehan masing-masing dapat disalurkan kepada perkara-perkara yang bermanfaat.
Tema ‘POV: You’re Built for More’ mengajak para peserta melihat diri mereka dari perspektif yang lebih positif iaitu setiap individu mempunyai potensi yang boleh dikembangkan dan setiap kelebihan yang dimiliki mempunyai nilai serta tujuan.
Sebagai siri terakhir bagi program ‘The Journey Back to Allah’, sesi ini turut menjadi ruang untuk para peserta merefleksi perjalanan mereka sepanjang mengikuti siri-siri program, di samping membawa pulang semangat untuk meneruskan usaha memperbaiki diri walaupun program telah berakhir.
Sehubungan itu, Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA Kampung Sengkurong berharap agar segala perkongsian dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat terus memberi manfaat kepada para peserta serta mendorong mereka untuk menggunakan potensi yang dimiliki bagi menyumbang kepada keluarga, komuniti dan masyarakat.
Program ‘The Journey Back to Allah’ mungkin sampai ke penghujung sirinya, namun perjalanan untuk menjadi insan yang lebih baik dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala.