Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Promosi antarabangsa akan terus dilaksanakan secara lebih agresif, tersasar dan berasaskan data menerusi pengukuhan pasaran utama sedia ada di Asia, Timur Tengah, United Kingdom dan Australia, mengkaji secara aktif pasaran baharu berpotensi tinggi di Eropah dan Amerika Syarikat.
Usaha ini disokong melalui penempatan wakil pemasaran di Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea Selatan dan Taipei; penyertaan dalam 24 ekspo dan jerayawara; kerjasama dengan 10 Key Opinion Leaders dan pempengaruh media sosial berprofil tinggi termasuk mengadakan lawatan suai kenal bagi ejen-ejen pelancongan antarabangsa untuk merasakan sendiri pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan di negara ini; enam kempen digital melalui platform seperti Skyscanner, Rome2Rio, Klook, Trip.com, Ctrip dan Agoda; serta 10 kempen media yang melibatkan media antarabangsa seperti CNN, Euronews dan Al Jazeera. Kesemua aktiviti ini dinilai berdasarkan keberkesanan platform yang dipilih dapat menghasil lebih banyak tempahan dan ketibaan pelancong ke Negara Brunei Darussalam (NBD) bukan sahaja sekadar meningkatkan profil negara ini di mata dunia.
Ini dinyatakan oleh Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa berucap pada Kenyataan Menteri: ‘Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan Seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year) 2027’ pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.
Selain meningkatkan usaha promosi destinasi, menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, kerajaan juga sedang giat berusaha menarik lebih banyak acara bertaraf antarabangsa untuk dianjurkan di NBD sepanjang tahun 2027. Antara yang dikenal pasti termasuk acara seni dan kebudayaan, kejohanan sukan, aktiviti rekreasi, festival serta penganjuran mesyuarat, persidangan dan konvensyen antarabangsa. Penganjuran acara-acara ini bukan sahaja dapat meningkatkan profil Brunei di persada antarabangsa, malah dijangka menyumbang kepada pertambahan ketibaan pelawat, memanjangkan tempoh penginapan mereka serta memberi limpahan manfaat ekonomi kepada sektor pelancongan dan perusahaan tempatan.
Jelas Yang Berhormat lagi, kerjasama strategik dengan sektor swasta juga diperkukuh melalui pelantikan Official Airline Partner, Official Global Platform Partners, Official Payment Partner, Official Telco Partner, Official Transit Hotel Partners dan Official Merchandise Partners. Kerjasama ini berpotensi memperluas capaian promosi, meningkatkan kemudahan pembayaran tanpa tunai (‘cashless payments’), menggalakkan pakej transit yang memanjangkan tempoh penginapan, serta membuka peluang penjenamaan dan nilai komersial kepada perusahaan tempatan.
Sehubungan ini, Yang Berhormat juga berkata penyediaan kaedah pembayaran tanpa tunai (‘cashless payments’) bukan lagi kemudahan tambahan, tetapi sebahagian daripada asas daya saing destinasi.
“Apabila pelawat boleh membayar dengan cepat dan selamat, kecenderungan mereka untuk membeli makanan, kraftangan, cenderamata dan perkhidmatan turut meningkat. Sebaliknya, jika vendor hanya menerima wang tunai, transaksi mungkin tidak berlaku dan peluang hasil akan terlepas.
“Sebagai perkembangan awal, tiga pengusaha di Pasar Malam Gadong telah mula menerima pembayaran tanpa tunai menerusi kaedah Visa atau Mastercard dan pembayaran melalui kod QR juga semakin mendapat sambutan dalam kalangan vendor di Pekan Muara. Ini adalah perkembangan yang positif kerana pelawat tidak semestinya membawa wang tunai tempatan dalam jumlah yang banyak,” ujar Yang Berhormat.
Oleh itu, Yang Berhormat seterusnya menyeru lebih ramai vendor, khususnya di lokasi tumpuan pelawat, pasar malam, pusat makanan, kawasan membeli-belah dan lokasi komuniti untuk menerima kaedah pembayaran digital. Institusi kewangan, penyedia pembayaran dan agensi berkaitan pula perlu meneruskan usaha memperluas proses pendaftaran peniaga, menyediakan latihan ringkas, memudahkan kos dan peralatan, serta memastikan tanda penerimaan pembayaran dipamerkan dengan jelas.
Tambah Yang Berhormat, selain itu, penggalakan pelaburan berkualiti juga penting untuk memperluas kapasiti dan pilihan produk, salah satu contoh ialah pembangunan Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. bersama rakan hotel antarabangsa, dengan nilai pelaburan dianggarkan hampir sekitar BND6.8 juta, dan projek ekopelancongan dan ‘resort’ berasaskan alam semula jadi ini dijadualkan beroperasi pada Ogos 2027 dan berpotensi mewujudkan sekitar 80 pekerjaan langsung, dengan sasaran 90 peratus tenaga kerja tempatan dalam masa yang terdekat.