Teroka peluang pengajian, penyelidikan di Kesatuan Eropah

16 Okt 2026 - 7:36am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Oktober. - Lebih 180 orang pelajar, penyelidik dan ahli akademik dari Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini menyertai satu sesi secara maya, bagi menerokai peluang pengajian dan penyelidikan yang dibiayai sepenuhnya di negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menerusi Program Biasiswa Erasmus Mundus Joint Master 2027.

Sesi berkenaan merupakan sebahagian daripada webinar sehari bertajuk ‘Bridging Ambitions: Navigating the Erasmus Mundus Joint Master (EMJM) and EU Higher Education’ yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, NBD dengan kerjasama Delegasi EU ke Republik Indonesia dan NBD melalui platform Zoom. Acara tersebut telah diadakan menjelang sambutan Erasmus+ Days di peringkat global.

Webinar berkenaan menampilkan Chargé d’Affaires ad interim, Delegasi EU ke Republik Indonesia dan NBD, Tuan Yang Terutama Marco Bonetti serta Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad selaku tetamu kehormat, diikuti dengan ucapan daripada Erasmus+ National Focal Point (ENFP) Brunei dan Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dr. Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Mohd. Alimin.

Dr. Haji Azman menekankan bahawa pendidikan antarabangsa menyediakan peluang kepada kita untuk memperluas pengetahuan, menimba pengalaman daripada pelbagai perspektif serta membina hubungan yang berkekalan.

“Melalui Erasmus Mundus Joint Masters dan jalinan kerjasama dengan institusi-institusi di Eropah, para pelajar dan warga akademik berpeluang menerokai laluan untuk melanjutkan pengajian serta menjalinkan kerjasama.

“Bagi NBD, peluang-peluang ini juga dapat menyumbang kepada aspirasi negara di bawah Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

“Pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh melalui penglibatan di peringkat antarabangsa dapat memperkukuh institusi-institusi pendidikan serta menyokong pembangunan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Yang Terutama Marco Bonetti seterusnya menjelaskan bahawa Kesatuan Eropah berbangga dapat menyokong pengukuhan kerjasama dengan NBD dalam bidang pengajian tinggi dan penyelidikan, sekali gus membuka peluang kepada para pelajar, penyelidik dan institusi untuk menjalin hubungan dengan komuniti akademik bertaraf dunia di seluruh Eropah.

“Melalui peluang-peluang seperti program Erasmus+ dan Horizon Europe, serta berpandukan visi yang lebih luas di bawah strategi Global Gateway EU, kami melabur dalam pembangunan modal insan, ilmu pengetahuan dan inovasi, di samping menyokong aspirasi masa depan NBD, termasuk Wawasan Brunei 2035.

“Webinar pada hari ini mencerminkan komitmen bersama dalam membina hubungan yang berkekalan antara Eropah dan NBD melalui pendidikan, penyelidikan, pertukaran antarabangsa serta perkongsian strategik global yang berteraskan kepercayaan,” tambah Tuan Yang Terutama Marco Bonetti.

Timbalan Atase Kerjasama Universiti, Institut Français d’Indonésie, Gema Akbar Pratama turut menyampaikan pembentangan mengenai Biasiswa France Excellence Eiffel, manakala Pengarah Pejabat Serantau DAAD Jakarta, Dr. Guido Schnieders berkongsi mengenai peluang pengajian dan penyelidikan di Republik Perancis dan Republik Persekutuan Jerman.

Melalui webinar tersebut, para peserta telah didedahkan kepada amalan terbaik dalam memahami dan mengikuti proses permohonan EMJM, di samping menerima panduan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan dan pengajian di luar negara.

Dari aspek praktikal, para peserta turut diberikan panduan mengenai cara menyediakan surat motivasi yang meyakinkan serta membuat persediaan bagi menghadapi sesi temu duga biasiswa.

Webinar berkenaan turut menampilkan sesi-sesi khusus bagi para pensyarah dan institusi pengajian tinggi yang memfokuskan kepada kerjasama Erasmus+ International Credit Mobility antara universiti-universiti di NBD dengan universiti-universiti di EU.

Wakil-wakil dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) turut berkongsi pengalaman dalam menjalin kerjasama mobiliti kredit dengan institusi-institusi di EU.

Para penyelidik, inovator dan wakil institusi turut berpeluang menerokai peluang pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) melalui program Horizon Europe yang dibentangkan oleh Penyelaras Serantau ASEAN, EURAXESS Worldwide, Leonie Nagarajan.

Penganjuran webinar sehari ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dan EU dalam memperkukuh hubungan kerjasama akademik dan diplomatik antara NBD dengan Eropah, selaras dengan usaha mendukung pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.

Acara berkenaan turut mendapat sokongan daripada EU-Brunei Darussalam Partnership Facility.