Terus menikmati pembangunan inklusif, berdaya tahan, berorientasikan kesejahteraan rakyat

12 Og 2026 - 7:19am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos - Ketua kampung merupakan pihak yang paling hampir dengan rakyat, mendengar sendiri denyut nadi masyarakat dan memahami cabaran yang dihadapi dan menyaksikan secara langsung kesan dasar-dasar kerajaan terhadap kehidupan seharian penduduk.

Berucap pada Usul Penangguhan pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing seterusnya berkata, sepanjang Yang Berhormat melaksanakan amanah sebagai ketua kampung, Yang Berhormat mendapati bahawa rakyat amat menghargai pelbagai inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun terang Yang Berhormat, masyarakat turut mengharapkan agar penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa dipertimbangkan agar lebih cepat, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan semasa.

Yang Berhormat dalam pada itu mencadangkan agar pendekatan Whole of Government terus diperkasakan di peringkat mukim dan kampung. Kerjasama yang lebih tersusun antara kementerian, jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta institusi penghulu mukim dan kampung akan membolehkan sesuatu isu diselesaikan dengan lebih bersepadu tanpa memerlukan penduduk berurusan dengan terlalu banyak agensi.

“Dalam masa yang sama, peranan ketua kampung dan jua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung wajar terus diperkasakan sebagai rakan strategik kerajaan selain menjalankan fungsi pentadbiran, institusi ini juga menjadi medium penyampaian maklumat, penyelarasan bantuan, penggerak program kemasyarakatan serta pemudah cara dalam menangani isu kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Selain aspek kebajikan, kesejahteraan rakyat turut bergantung kepada peluang ekonomi yang mampan.

“Oleh itu, kaola mencadangkan agar lebih banyak program pembangunan ekonomi, komuniti diperkenalkan dengan memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, pertanian moden, industri makanan, ekonomi, digital dan pelancongan berasaskan komuniti. Penyertaan belia dalam program-program tersebut perlu diberi galakan melalui latihan, bimbingan dan akses kepada pembiayaan yang bersesuaian. Dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, kesejahteraan mental dan sosial masyarakat juga perlu diberi perhatian.

“Program memperkukuh institusi keluarga, kejiranan, kesukarelawan dan penglibatan belia hendaklah diperkasakan kerana masyarakat yang bersatu padu dan saling mengambil berat merupakan benteng terbaik dalam menangani pelbagai cabaran sosial,” ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menambah, sesungguhnya kesejahteraan rakyat bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata tapi juga melalui rasa selamat, peluang untuk meningkatkan taraf hidup, kemudahan mendapatkan perkhidmatan, kekuatan institusi keluarga serta hubungan erat antara kerajaan dengan rakyat.

Sehubungan itu, Yang Berhormat menzahirkan harapan agar  cadangan yang dikemukakan ini akan dapat dipertimbangkan sebagai usaha memperkukuhkan lagi pelaksanaan dasar-dasar kerajaan selaras dengan hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar negara terus menikmati pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Yang Berhormat dalam ucapannya turut merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang menekankan kepada semua pihak bahawa setiap dasar perancangan dan pelaksanaan hendaklah berpaksikan kepentingan rakyat, dipacu oleh tadbir urus yang berkesan, penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta pengurusan sumber negara yang berhemah dan menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang berterusan.