Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BELAIT, Sabtu, 8 Ogos. – Upacara Penurunan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 Peringkat Daerah Belait telah berlangsung di Taman Persiaran Cendera Kenangan, Jalan Sungai, petang tadi.
Hadir menyaksikan Upacara Penurunan Bendera berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.
Hadir sama, Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, bagi Daerah Belait; ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung; wakil-wakil daripada pihak swasta; serta wakil daripada persatuan-persatuan.
Upacara Penurunan Bendera dimulakan dengan pasukan Penurunan Bendera NBD bergerak masuk, terdiri daripada anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan seterusnya menyanyikan Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Sejurus itu, bendera yang telah berkibar dari 1 Julai 2026 diturunkan oleh Pasukan Penurunan Bendera dan kemudian diserahkan kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan NBD oleh Imam Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong Tiga Selatan Seria, Awang Mohd. Shahirwandy bin Samsudin.
Dengan penurunan bendera berkenaan menandakan bahawa selesainya pengibaran bendera di jalan-jalan raya utama, premis-premis kerajaan dan swasta serta rumah-rumah di seluruh negara.
Orang ramai, khususnya penduduk di Daerah Belait hendaklah menurunkan bendera mereka serta melipatnya dengan kemas dan rapi serta menyimpannya di tempat bersesuaian dan menjaganya dengan baik. Mana-mana bendera yang telah rosak adalah dinasihatkan untuk menggantikannya.