Usaha tarik FDI perlu dipertingkatkan

6 Og 2026 - 5:25am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menegaskan bahawa usaha menarik lebih banyak pelaburan perlu dipertingkatkan melalui penyelarasan yang lebih berkesan antara agensi berkaitan.

Pelaburan asing ujar Yang Berhormat bukan saja membawa 'capital injection' yang kita perlukan tetapi akan membawa teknologi yang baru, tenaga kerja profesional serta etika kerja yang baru, yang mana dalam jangka sederhana dan panjang sudah dikenal pasti dapat membantu ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Walaupun Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara kecil, Yang Berhormat yakin negara mampu meraih keuntungan dan faedah dari FDI dengan mengambil beberapa langkah yang merubah persepsi tentang keupayaan, kebolehpercayaan, ketelusan dan 'business environment' di negara ini.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan menyokong usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat berpendapat media kerajaan boleh memainkan peranan memaparkan projek-projek yang sudah berjalan agar menjadi contoh akan keupayaan NBD menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.

Yang Berhormat turut menekankan kepentingan membangunkan kumpulan bakat tempatan (pool of local talents) yang memiliki kemahiran khusus dalam bidang strategik seperti teknologi digital, Kecerdasan Buatan (AI), kewangan, kejuruteraan, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan sebagainya.

Menurut Yang Berhormat, usaha tersebut memerlukan keterlibatan daripada pelbagai pihak, Kementerian Pendidikan, Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Menteri Penyelaras Dasar Sosial dan Tenaga kerja, Manpower Planning and Employment Council (MPEC), dan pihak industri.

Yang Berhormat turut menyifatkan isu pengangguran sebagai cabaran yang mempunyai unsur struktur (structural), antaranya disebabkan ketidakpadanan (mismatch) antara kelayakan tenaga kerja dengan keperluan industri.

“Isu pengangguran adalah isu serius, ini disebabkan kurangnya peluang pekerjaan di mana pihak swasta, Government Link Companies (GLCs) dan FDIs kurang berupaya menyediakan pekerjaan untuk anak-anak tempatan.

“Maka kita sewajarnya memberi fokus kepada usaha mengukuhkan pihak swasta, membina keupayaan mereka, membantu mengembangkan kapasiti mereka (capacity building), daya saing mereka, modal dan kemudahan menembusi pasaran luar agar menjadi rakan pembangunan yang kukuh,” terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga mengambil maklum usaha Kementerian Pendidikan melalui institusi pengajian tinggi yang bekerjasama dengan pihak industri dalam menyediakan kepakaran yang diperlukan.

Sebagai langkah sementara, Yang Berhormat mencadangkan agar graduan dan pencari kerja yang masih menunggu pekerjaan diberi peluang berkhidmat secara sementara di jabatan-jabatan kerajaan mengikut bidang kepakaran masing-masing seperti teknologi maklumat, AI, ekonomi digital, pendidikan, pertanian, kewangan dan penjagaan kesihatan.

Pendekatan ini kata Yang Berhormat, bukan sahaja dapat membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah mampu meningkatkan semangat, keyakinan dan kesiapsiagaan golongan belia sebelum memperoleh pekerjaan tetap.

Mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat menegaskan bahawa penyelarasan hendaklah dilaksanakan bukan sahaja di peringkat kepimpinan, malah perlu diterapkan ke semua peringkat pegawai dan kakitangan agar usaha menuju Wawasan Brunei 2035 dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan memberi impak yang menyeluruh.