Siaran Akhbar dan Foto : HiTUNE Group of Companies
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Pasukan di dalam Kategori Bawah 10 Tahun (U10), Elnour HiTUNE FA mempamerkan kebangkitan yang cukup membanggakan apabila berjaya mencatat kemenangan bersih dalam ketiga-tiga perlawanan pada minggu kedua Kejohanan Brunei Grassroots League 2026-2027 yang berlangsung di Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD).
Skuad bimbingan di bawah Muhamad Najib Daud itu membuka tirai saingan dengan kemenangan 2 - 0 ke atas Dash FA hasil jaringan Sufyan dan Faiq.
Momentum positif itu diteruskan dalam perlawanan kedua apabila Elnour HiTUNE FA sekali lagi mencatat keputusan 2 - 0, kali ini menewaskan S58 untuk mengukuhkan kedudukan pasukan dalam persaingan liga.
Kecemerlangan skuad muda berkenaan mencapai kemuncaknya dalam perlawanan ketiga apabila membenam Aryanariz dengan jaringan 3 - 0. Mohd. Faiq muncul wira dengan sumbangan dua gol, manakala Zimsarul melengkapkan kemenangan bergaya tersebut.
Keputusan tiga kemenangan berturut-turut itu menyaksikan Elnour HiTUNE FA kini mengumpul sembilan mata dan menduduki tangga keempat carta liga selepas minggu kedua pertandingan.
Sementara itu, Pasukan Brazilian Football Academy terus menguasai persaingan di tangga teratas dengan 18 mata, diikuti Shadow Striker dan Projek Ikan Pusu yang masing-masing mengumpul 15 mata.
Brunei Grassroots League 2026-2027 anjuran FABD disertai 16 pasukan yang bersaing dalam format liga, sekali gus menyediakan platform penting bagi mencungkil bakat muda serta meningkatkan pembangunan bola sepak akar umbi negara.