Berita dan Foto : Ihsan Zainal Abidin Sahari
BELAIT, Isnin, 23 November. – Seramai 25 peminat basikal daripada tiga daerah, iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong serta Daerah Belait, menyertai aktiviti kayuhan santai yang diadakan pada hujung minggu di Daerah Belait, baru-baru ini.
Aktiviti berkenaan merupakan inisiatif kolaborasi dalam kalangan peminat basikal pelbagai jenis di negara ini yang diketuai oleh Dayang Hanafadziliah binti Haji Halidin dari Daerah Brunei dan Muara; serta Awang Bakhari bin Haji Jalut dari Daerah Belait.
Selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, kayuhan berkenaan turut bertujuan mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat persahabatan dalam kalangan peminat sukan berbasikal di negara ini.
Kayuhan bermula dari Taman Jubli Perak, Daerah Belait, menyusuri Jalan Mulana menuju ke bulatan sebelum meneruskan perjalanan melalui Jalan Utara ke Seria. Para peserta kemudiannya berhenti untuk sesi bergambar ramai di kawasan Ibu Pejabat Brunei Shell Petroleum Company (BSP).
Kayuhan seterusnya diteruskan menuju ke Kuala Belait melalui Jalan Mumong.
Menariknya, kebanyakan peserta terdiri daripada golongan veteran dan warga emas yang berusia antara 50 hingga 80 tahun, termasuk dua peserta wanita. Penyertaan tersebut jelas memperlihatkan bahawa aktiviti berbasikal mampu menjadi wadah riadah yang sesuai dinikmati oleh pelbagai peringkat umur.
Para peserta turut menzahirkan rasa syukur atas sambutan dan sokongan berterusan daripada peminat-peminat basikal di negara ini terhadap pelbagai aktiviti dan acara yang dianjurkan.