Peluang pasukan tempatan uji keupayaan di peringkat antarabangsa

25 Nov 2026 - 12:20am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Alishahrin Haji Mumin

BERAKAS, Selasa, 24 November. - Pasukan bola jaring dari Republik Filipina, Siklab Pilipinas menyahut cabaran pasukan AUG Netball Team dalam perlawanan persahabatan sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan berkenaan menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang akan berlangsung di Malaysia. 

Perlawanan berkenaan berlangsung malam tadi, di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB),  di sini.

Perlawanan tersebut memberi peluang kepada pasukan AUG Netball Team untuk menguji persiapan mereka menentang pasukan antarabangsa, di samping menimba pengalaman melalui pendedahan terhadap corak permainan, kepantasan dan pendekatan permainan pasukan Siklab Pilipinas. 

Sukan Universiti ASEAN 2026 dijadualkan berlangsung di Malaysia dari 10 hingga 19  Disember 2026, dengan menghimpunkan atlet universiti dari seluruh rantau ASEAN. 

Perlawanan persahabatan tambahan berkenaan merupakan antara perlawanan yang diselaraskan dengan bantuan Persatuan Bola Jaring Brunei (BNA) susulan ketibaan Siklab Pilipinas ke Negara Brunei Darussalam (NBD), sekali gus memberi peluang kepada pasukan tempatan untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa. 

Peluang seumpama tersebut penting dalam membantu pembangunan pemain tempatan, meningkatkan tahap daya saing serta menggalakkan pertukaran pengalaman sukan antara NBD dengan negara-negara lain.