Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12
SABAH, Khamis, 26 November. – Atlet negara terus menambah koleksi pingat buat kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) menerusi kejayaan meraih pingat dalam acara pencak silat.
Kontinjen NBD berjaya meraih tiga pingat gangsa bersama dalam acara pencak silat pada Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 yang berlangsung di Sabah, Malaysia.
Dua pingat gangsa tersebut masing-masing disumbangkan menerusi Kategori Regu Lelaki dan Regu Wanita.
Dalam Kategori Regu Lelaki, pingat emas dimenangi oleh Malaysia ‘B’ dari Sarawak, manakala pingat perak diraih oleh Malaysia ‘A’ dari Sabah. Sementara pingat gangsa bersama pula menjadi milik NBD dan Philippines ‘B’ dari Davao City.
Sementara itu, dalam Kategori Regu Wanita, Malaysia ‘A’ dari Sabah meraih pingat emas, diikuti Philippines ‘A’ dari BARMM dengan pingat perak; manakala NBD dan Malaysia ‘C’ dari FT Labuan masing-masing berkongsi pingat gangsa.
Dalam acara Tunggal Lelaki, atlet NBD, Mohammad Izz Malek Haji Md. Harmaini, turut berjaya meraih pingat gangsa bersama Khyll Leo Piala Bacus dari Philippines ‘B’, Davao City. Pingat emas bagi acara berkenaan dimenangi oleh Fadhli Hidayat Harun dari Malaysia ‘A’ (Sabah), manakala pingat perak menjadi milik Muhammad Hasfizhan Abdullah Hassan dari Malaysia ‘B’ (Sarawak).
Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 berlangsung dari 23 hingga 27 November 2026 di Sabah, Malaysia, dengan penyertaan kontinjen NBD seramai 64 orang, terdiri daripada 42 atlet dan 22 pegawai termasuk Chef de Mission, pegawai urus setia dan perhubungan, pegawai perubatan, jurulatih serta pengurus.
Kontinjen negara menyertai tujuh acara sukan, iaitu badminton, boling padang, karate, olahraga, pencak silat, renang dan sepak takraw.