Siaran Akhbar dan Foto : Pengurusan Kelab Shah United
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 November. - Kelab Futsal Shah United baru-baru ini mengorak satu lagi langkah ke hadapan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PJ Sport Design dari Ranong, Thailand.
MoU tersebut ditandatangani oleh pemilik Kelab Futsal Shah United, Awang Haji Syed Mohd. Yaqub bersama pemilik PJ Sport Design, Warapol Jatapanya.
Juga hadir, Presiden Kelab Futsal Shah United, Awang Haji Yusof Thani bin Dato Paduka Haji Hussain.
Menerusi kerjasama tersebut, PJ Sport Design akan memberikan tajaan berupa pakaian perlawanan serta kelengkapan sukan lain kepada Kelab Futsal Shah United untuk tempoh satu tahun.
Kehadiran pemilik PJ Sport Design sendiri ke Negara Brunei Darussalam bagi menyempurnakan majlis tersebut merupakan satu penghormatan kepada pihak kelab, sekali gus memperkukuhkan hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Di samping itu, Majlis Penandatanganan Kontrak para pemain Kelab Futsal Shah United turut diadakan sebagai sebahagian daripada persiapan kelab menghadapi Kejohanan Brunei Futsal Challenge Cup 2026 / 2027.
Kerjasama strategik tersebut diharap dapat meningkatkan profesionalisme dan prestasi pasukan serta menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan sukan futsal di Negara Brunei Darussalam.
Pihak kelab turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PJ Sport Design atas kepercayaan, sokongan dan komitmen yang diberikan serta berharap agar hubungan kerjasama ini dapat diteruskan untuk jangka masa panjang.