LOS ANGELES, 18 Julai. - Taylor Farms, pembekal salad yang berpangkalan di California, pada Jumaat mengumumkan pihaknya secara sukarela menarik balik bekalan ‘iceberg lettuce’yang diperoleh dari tengah Mexico selepas pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengenal pasti syarikat itu sebagai kemungkinan punca wabak Cyclosporiasis di seluruh negara yang telah menyebabkan ribuan orang jatuh sakit.
“Sebagai sebuah syarikat milik keluarga, kami amat prihatin terhadap mereka yang dijangkiti, keluarga mereka serta rakyat Amerika yang keyakinan mereka terhadap keselamatan hasil pertanian segar telah terjejas,” kata Taylor Farms dalam satu kenyataan.
Syarikat itu memaklumkan tindakan tersebut diambil susulan maklumat yang diberikan pada Khamis oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA).
“Walaupun siasatan pengesanan rantaian bekalan (traceback) FDA menunjukkan sebuah ladang bebas tertentu yang mewakili kurang daripada satu peratus bekalan ‘iceberg lettuce’di AS sebagai kemungkinan punca wabak, kami telah menarik balik semua ‘iceberg lettuce’dari kawasan berkenaan sehingga diberitahu kelak,” kata Taylor Farms sambil menegaskan bahawa ‘Tiada salad atau kit salad berjenama Taylor Farms dikaitkan dengan wabak ini’.
“Kami komited untuk melakukan segala yang termampu bagi menangani isu ini, menyokong siasatan yang sedang dijalankan dan membantu memulihkan keyakinan orang ramai,” menurut kenyataan itu lagi.
Taylor Farms yang beribu pejabat di Salinas, California, merupakan pembekal kepada beberapa rangkaian restoran utama di seluruh AS.
Satu sumber yang mengetahui siasatan itu memberitahu CBS News pada Khamis bahawa siasatan pengesanan rantaian bekalan oleh FDA mendapati individu yang dijangkiti Cyclosporiasis telah memakan salad yang dibekalkan oleh Taylor Farms kepada cawangan Taco Bell di lima negeri.
“Berdasarkan perbincangan berterusan dengan pegawai kesihatan awam dan sebagai langkah berjaga-jaga, Taco Bell telah mengambil tindakan segera untuk secara sukarela menarik balik salad yang berkemungkinan terjejas daripada pembekal di beberapa negeri terpilih,” kata Taco Bell dalam satu kenyataan pada Khamis.
Laporan kes Cyclosporiasis meningkat dengan pantas di AS, dengan sistem kesihatan negeri dan tempatan merekodkan jauh lebih banyak kes berbanding angka persekutuan berikutan tunggakan dalam proses analisis kes, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) awal minggu ini.
CDC memaklumkan pada Selasa bahawa pihaknya menerima 1,645 kes Cyclosporiasis yang disahkan melalui ujian makmal di 34 negeri sejak 1 Mei, termasuk 141 kes dimasukkan ke hospital dan tiada kematian, selain lebih 5,100 laporan yang masih menunggu analisis sebelum dapat diklasifikasikan sebagai kes jangkitan tempatan. - ©XINHUA