TEHRAN, 17 Julai. - Republik Islam Iran dilaporkan meminta kumpulan Houthi di Yemen supaya bersedia menutup Selat Bab el-Mandeb sekiranya Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas loji-loji tenaga negara itu, menurut laporan Reuters pada Khamis.
Reuters, yang memetik tiga sumber termasuk dua pegawai kanan Republik Islam Iran dan satu sumber serantau yang mengetahui perkara itu, melaporkan bahawa cadangan tersebut telah dibincangkan dalam kepimpinan Republik Islam Iran sebelum disampaikan kepada kumpulan Houthi.
Menurut laporan itu lagi, satu sumber yang rapat dengan Houthi mendakwa kumpulan berkenaan telah melengkapkan persiapan untuk menyerang kapal yang melalui Selat Bab el-Mandeb dengan menempatkan peluru berpandu dan dron berhampiran laluan strategik tersebut, yang menjadi pintu masuk ke Laut Merah serta antara laluan utama bekalan tenaga dunia.
Sumber itu turut mendakwa bahawa wakil daripada Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) yang berada di Yemen akan menentukan masa yang sesuai untuk melaksanakan penutupan selat berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera AS dilaporkan telah melancarkan beberapa siri serangan ke atas Republik Islam Iran sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan mendakwa tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan tentera Republik Islam Iran ke atas kapal-kapal di Selat Hormuz serta bertujuan mengurangkan keupayaan Republik Islam Iran mengancam perkapalan komersial.
Republik Islam Iran pula bertindak balas dengan melancarkan beberapa gelombang serangan menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan serta kemudahan ketenteraan AS di rantau tersebut. - ©XINHUA