Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi, Ihsan Haji Ali Hamzah Haji Gafar
KAMPUNG BENGKURONG, Sabtu, 25 Julai. - Semangat keprihatinan dan budaya hidup sihat terus dipupuk dalam kalangan penduduk menerusi penganjuran Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Masjid Kampung Bengkurong yang berlangsung di masjid berkenaan, di sini.
Kempen Derma Darah diadakan pada sebelah pagi manakala Pemeriksaan Kesihatan berlangsung pada sebelah petang dibukakan kepada penduduk Kampung Bengkurong dan sekitarnya bukan sahaja memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 masjid berkenaan malah turut menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendermaan darah.
Sementara itu, pemeriksaan kesihatan turut disediakan bagi sama-sama untuk memantau tahap kesihatan masing-masing.
Hadir pada acara berkenaan ialah Ketua Kampung Bengkurong, Awang Haji Talib bin Haji Abu Bakar; Ketua Imam Masjid Kampung Bengkurong, Awang Mohd. Zahid Zakwan bin Mohd. Said serta Awang Haji Azis bin Haji Nayan selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Pandu Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Masjid Kampung Bengkurong.
Kempen tersebut telah berjaya mengumpulkan 36 pain darah, sekali gus menyumbang kepada bekalan darah negara bagi membantu pesakit-pesakit yang memerlukannya.
Awang Haji Azis bin Haji Nayan ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada semua penderma yang tampil menghulurkan sumbangan secara sukarela.
Menurut beliau, setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu dan menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan dan seterusnya menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menjadikan pendermaan darah sebagai amalan berterusan kerana selain membantu orang lain, penderma juga berpeluang mengetahui tahap kesihatan mereka melalui pemeriksaan awal sebelum proses pendermaan dijalankan.
Program seumpama itu mencerminkan peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, bahkan sebagai institusi yang memperkukuh kebajikan, kesihatan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan usaha melahirkan komuniti yang prihatin, bersatu padu dan sejahtera.