Akidah kukuh asas keharmonian, keamanan, kemakmuran negara

25 Og 2026 - 10:55am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara pada tahun ini ialah ‘Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah’.

Tema ini bertepatan dengan baginda diutus sebagai pembawa rahmat kepada alam seluruhnya. Bagindalah suluh dunia dan suluh akidah. Sebelum baginda diutus, semuanya gelap gelita, berada dalam kegelapan kufur dan kesesatan sera kejahilan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian dalam Titah Perutusan sempena Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448H / 2026M.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah, perkara ini telah dijelaskan sendiri oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ibrahim, Ayat 1, “(Inilah) Kitab yang kami telah turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) supaya engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kufut) kepada cahaya (iman) dengan izin tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”.

Ayat tersebut, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, menegaskan bahawa antara misi terbesar kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah membimbing manusia kepada akidah yang sahih dan seterusnya membawa mereka menuju keselamatan di dunia serta kebahagiaan di akhirat.

Dalam kemajuan teknologi dan komunikasi digital, titah baginda, kita umat Islam kini tidak lepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran memelihara akidah. Kemudahan mendapat sumber maklumat melalui media sosial dan platform digital telah membuka ruang kepada penyebaran pelbagai ajaran, tafsiran dan fahaman ugama.

“Maka amat membimbangkan kita, kerana kadang-kadang terdapat kandungan yang boleh mengelirukan, bahkan menyesatkan, sehingga berpotensi untuk menggugat akidah yang sahih, khasnya dalam kalangan para belia dan generasi muda, selaku pengguna utama platform digital.

Oleh itu, beta ingin menasihatkan semua lapisan, terutama golongan belia, supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang individu atau kumpulan yang membawa naratif ugama dalam pelbagai bentuk, sama ada ia dari dalam mahupun luar negara, yang memperalatkan ugama untuk menyebarkan fahaman menyimpang,” titah baginda.

Di samping itu, baginda menyeru ibu bapa, guru-guru serta seluruh institusi pendidikan supaya memainkan peranan aktif dalam membimbing dan mengukuhkan akidah generasi muda, kerana pemeliharan akidah bukan tanggungjawab satu pihak tetapi tanggungjawab semua.

Kebawah DYMM seterusnya bertitah, jadikanlah diri kita sentiasa berhati-hati dan tidak mudah menerima segala pendapat dari sumber digital yang tidak diketahui kesahihannya, melainkan perlu dirujuk kepada institusi ugama berautoriti.

Di antara contoh penyelewengan akidah, titah baginda, ialah bermudah-mudah mengamalkan ugama seperti mengharuskan sembahyang tanpa wuduk atau membenarkan sembahyang jamak dan qasar tanpa memenuhi syarat yang betul.

Baginda kemudian bertitah, terdapat juga golongan yang berfahaman menormalisasikan perkara-perkara yang ditegah atau bercanggah dengan ugama. Semua ini mesti ditolak, jangan sampai ia bertapak dalam masyarakat.

“Dengan mengelak fahaman-fahaman yang mengelirukan seperti ini, insyaaAllah, akidah kita aliran Ahli Sunnah Waljama’ah akan terus terpelihara,” titah baginda.

Dalam titah, baginda berharap, Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini akan benar-benar jadi pemangkin kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk terus memperteguh akidah dengan mematuhi ajaran Al-Quran dan As-Sunnah serta menzahirkan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui ibadat yang ikhlas.

Kebawah DYMM dalam titah menyeru supaya seluruh rakyat sentiasa waspada dan bijaksana dalam menilai setiap kandungan yang diperolehi daripada platform digital. Jangan sekali-kali mudah terpengaruh atau menyebarkan ajaran yang tidak jelas sumbernya. Semoga dengan itu, akidah umat akan selamat dan perpaduan akan terus kukuh dan mantap.

“Sesungguhnya akidah yang kukuh dan mantap adalah asas kepada keharmonian, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara dan sekaligus menjadi benteng utama dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan negara buat selama-lamanya,” Kebawah DYMM mengakhiri Titah Perutusan.