Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) hari ini telah menerbitkan Kenyataan Dasar BDCB Pertama bagi Tahun 2026.
Di dalam Kenyataan Dasar 1/2026 tersebut, BDCB mengongsikan bahawa International Monetary Fund (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global akan menyederhana kepada 3.0 peratus pada 2026 dan 3.4 peratus pada tahun 2027, manakala inflasi global dijangka meningkat kepada 4.7 peratus pada 2026, sebelum menurun semula pada 2027.
Sementara itu, Negara Brunei Darussalam (NBD) mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama tahun 2026. Sektor Minyak dan Gas berkembang sebanyak 4.1 peratus yang disokong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, gas asli dan gas asli cecair (LNG).
Sementara itu, Sektor Bukan Minyak dan Gas menurun sebanyak 3.0 peratus, disumbangkan oleh pengurangan dalam aktiviti hiliran sebanyak 1.6 peratus serta penurunan dalam sektor-sektor lain seperti kewangan, perkhidmatan perniagaan dan pembinaan.
Memandang ke hadapan, prospek ekonomi kekal positif dan dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan aktiviti huluan dan hiliran, serta limpahan positif daripada Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan inisiatif pembangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12).
Harga pengguna di NBD kekal berada dalam tren deflasi, dengan kadar inflasi purata -0.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2026. Sebagai ekonomi yang bergantung kepada import, NBD kekal terdedah kepada inflasi yang diimport, terutamanya melalui saluran makanan dan barangan perantaraan.
Walau bagaimanapun, kesan terhadap harga domestik dijangka kekal terkawal, disebabkan oleh subsidi kerajaan, kawalan harga pentadbiran serta rangka kerja dasar monetari yang sedia ada.
BDCB mengunjurkan kadar inflasi bagi tahun 2026 berada dalam lingkungan -0.3 peratus hingga 0.7 peratus.
Meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, sektor kewangan NBD terus menunjukkan kedayatahanan dan kestabilan, disokong oleh asas kewangan yang kukuh, dengan jumlah aset sektor kewangan sebanyak BND25.7 bilion pada suku pertama 2026.
Sektor perbankan kekal mempunyai permodalan yang kukuh dan tahap kecairan yang tinggi, manakala kualiti aset terus menunjukkan peningkatan walaupun terdapat sedikit penyederhanaan dalam keuntungan bank-bank.
BDCB akan terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik, serta pasaran kewangan, di samping berwaspada terhadap risiko baharu yang mungkin timbul.
Melalui pemantauan berterusan, pelarasan dasar yang berhemat serta kerjasama erat dengan pihak-pihak berkepentingan, BDCB sentiasa komited untuk mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan NBD serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
Kenyataan Dasar BDCB 1/2026 yang lengkap boleh didapati di laman sesawang BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’. Bagi maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi BDCB menerusi talian +673 8318388, atau melalui e-mel di ‘info@bdcb.gov.bn’.