Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) malam tadi menganjurkan Persembahan Pentas Perayaan 'Citrawarna Jubli Intan 75 Tahun SM SMJA', yang menghimpunkan penyertaan pelajar, guru-guru, kakitangan serta alumni sekolah SM SMJA dalam satu persembahan yang penuh warna-warni, kreatif dan bermakna.
Acara yang berlangsung di Pentas Perayaan Kawasan Letak Kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat selaku tetamu kehormat majlis dan isteri, yang turut meluangkan masa bagi menyaksikan persembahan pentas berkenaan.
Persembahan pentas berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan (75 Tahun) SM SMJA.
Penganjuran persembahan pentas berkenaan bukan sahaja menjadi lambang kesyukuran dan penghormatan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malah turut meraikan 75 tahun perjalanan SM SMJA dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Di samping itu, persembahan pentas berkenaan juga menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim di antara warga sekolah, alumni dan ibu bapa melalui pelbagai persembahan seni yang mencerminkan identiti sekolah, menyerlahkan bakat serta memupuk semangat kerjasama dan perpaduan.
Sepanjang acara berlangsung, para peserta menampilkan pelbagai persembahan seperti tarian, deklamasi sajak, nyanyian solo dan akustik, drama pentas bahasa Melayu, drama pentas bahasa Inggeris dan nyanyian ramai, sekali gus berjaya menyemarakkan lagi suasana sambutan serta menghiburkan para pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis, para peserta persembahan, warga sekolah dan ahli jawatankuasa acara persembahan pentas, diikuti dengan penyerahan cenderamata kepada tetamu kehormat majlis.
Penganjuran persembahan pentas berkenaan diharap akan terus menjadi kenangan bermakna dalam lipatan sejarah SM SMJA di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan komitmen seluruh warga sekolah untuk meneruskan kecemerlangan pada masa hadapan.