Individu dikompaun kerana buang sisa makanan di tempat awam

23 Jul 2026 - 5:31am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Brunei dan Muara

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Julai. - Jabatan Daerah Brunei dan Muara melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang individu susulan maklumat berserta bukti yang diterima berhubung satu kejadian pembuangan sisa makanan di kawasan awam. Kejadian tersebut juga tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati individu berkenaan telah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30), Bab 12 (1)(a) kerana membuang atau meninggalkan sisa makanan di kawasan Ban 4, Kampung Mulaut.

Sehubungan itu, tawaran kompaun berjumlah BND300 telah dikeluarkan kepada individu tersebut pada 21 Julai 2026.

Individu tersebut ialah seorang warganegara Malaysia, Koh Tian Liang, didenda kompaun berjumlah BND300 atas kesalahan Bab 12 (1) (a).

Jabatan Daerah Brunei dan Muara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat secara bertanggungjawab sehingga tindakan penguatkuasaan dapat diambil dengan segera.

Jabatan ini ingin mengingatkan bahawa setiap individu bertanggungjawab memelihara kebersihan persekitaran dan sebarang perbuatan membuang sampah atau sisa makanan secara merata-rata dan tidak teratur adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu jika sabit kesalahan di mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi BND9,000 bagi individu dan tidak melebihi BND30,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-dua sekali.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pembuangan sampah yang menyalahi udang-undang dengan menyertakan lokasi kejadian berserta gambar atau rakaman video pelaku melalui aplikasi WhatsApp +673 8321581 bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera.