Ke arah membina ekonomi Asia-Pasifik berdaya tahan, inklusif

3 Nov 2026 - 7:49am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Oktober. - Ahli-ahli ABAC Brunei Darussalam, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim, dan Pengarah Urusan Exceltech Solutions Sdn. Bhd., Awang Hafriz Fayyadh, hari ini menyerahkan Laporan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) bagi Tahun 2026 kepada Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Mengangkat tema ‘Openness, Connectivity and Synergy’ (Keterbukaan, Kesalinghubungan dan Sinergi), laporan bagi tahun 2026 berkenaan menggariskan beberapa syor yang diterajui oleh sektor perniagaan bagi memperkukuh integrasi serantau, memanfaatkan inovasi digital serta memajukan pertumbuhan mampan dan inklusif di seluruh rantau Asia-Pasifik.

Laporan tersebut menekankan kepentingan keterbukaan dalam perdagangan dan pelaburan, termasuk kemajuan ke arah pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik serta pembaharuan bagi memastikan perdagangan yang telus, boleh dijangka dan berasaskan peraturan.

Selain itu, laporan berkenaan turut mengetengahkan kesalinghubungan sebagai pemacu daya tahan, dengan menyeru kepada pengukuhan rangkaian pengangkutan dan logistik, perdagangan tanpa kertas serta sistem pembayaran digital yang saling beroperasi.

Sementara itu, aspek sinergi antara teknologi, kemampanan dan pembangunan insan turut diberikan penekanan, bermula daripada memperkasa inovasi Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi kuantum hinggalah kepada memajukan penjagaan kesihatan, peralihan tenaga dan daya tahan iklim.

Pengiran Aki Ismasufian dalam kenyataannya menjelaskan, laporan ABAC 2026 mencerminkan komitmen bersama merela dalam membina ekonomi Asia-Pasifik yang lebih saling berhubung, berdaya tahan dan inklusif.

“Bagi Negara Brunei Darussalam, laporan ini menyediakan wadah penting untuk memajukan keutamaan yang amat relevan dengan agenda pembangunan negara, termasuk kepelbagaian ekonomi, kewangan mampan, transformasi digital dan kesalinghubungan serantau yang lebih kukuh.

“Penyerahan laporan ini kepada Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri merupakan peluang penting untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta.

“Dengan menterjemahkan syor-syor ABAC kepada inisiatif praktikal dan kerjasama yang bermakna, kita dapat membuka peluang baharu bagi perniagaan di Brunei, meningkatkan daya saing serantau serta menyumbang ke arah Asia-Pasifik yang lebih makmur dan mampan”.

Sementara itu, Awang Hafriz Fayyadh dalam kenyataannya pula berkata, sebagai wakil komuniti perniagaan Brunei di ABAC, beliau percaya bahawa keterbukaan, kesalinghubungan dan sinergi merupakan tonggak penting dalam membina ekonomi Asia-Pasifik yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

“Bagi Negara Brunei Darussalam, keutamaan ini membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau, memperluas perdagangan dan pelaburan rentas sempadan serta membolehkan perniagaan tempatan mengambil bahagian secara lebih aktif dalam rantaian nilai serantau yang terus berkembang.

“Paling penting, penglibatan kita di ABAC tidak seharusnya terhad kepada dialog dan mesyuarat semata-mata. Kami sedang giat berusaha untuk menterjemahkan sebahagian daripada penglibatan serantau ini kepada inisiatif nyata di Negara Brunei Darussalam, termasuk satu inisiatif yang kini sedang dibangunkan dengan hasrat untuk dilaksanakan di negara ini pada tahun hadapan.

“Kami berharap inisiatif ini akan mewujudkan peluang ekonomi yang bermakna bagi negara serta membuktikan bagaimana kerjasama perniagaan antarabangsa mampu menghasilkan manfaat praktikal di peringkat tempatan.

“Matlamat akhirnya, melalui kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dan sektor swasta, adalah untuk memastikan bahawa Brunei bukan sekadar mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi serantau, malah turut memainkan peranan aktif dalam mencorakkannya serta merebut peluang yang diwujudkan”.

Syor-syor berkenaan seterusnya akan dibentangkan secara rasmi kepada Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC semasa Dialog ABAC bersama Pemimpin-pemimpin di Shenzhen, Republik Rakyat China, pada November 2026.

Pembentangan itu sekali gus mengukuhkan komitmen ABAC dalam membentuk ekonomi Asia-Pasifik yang terbuka, saling berhubung dan bersinergi.