Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BENGKURONG, Khamis, 23 Julai. - Kedutaan Besar Diraja Thailand
di Negara Brunei Darussalam (NBD) pagi tadi menganjurkan aktiviti
sukarelawan bertempat di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah
Maryam, sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua
yang Ke-74 tahun (pada 28 Julai 2026).
Pada majlis tersebut, Kedutaan Besar Diraja Thailand yang diketuai
oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke NBD, Tuan Yang
Terutama Akrapong Chalermnon, bersama komuniti Thailand di
negara ini, rakan sahabat serta para pengedar tempatan
menyampaikan beberapa juadah istimewa makanan Thailand,
produk-produk Thailand serta sumbangan kepada pusat berkenaan.
Majlis juga turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik
daripada pelajar-pelajar Pusat Ehsan.
Juga hadir sama di majlis tersebut, Pemegang Amanah Eksekutif
Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa
Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin, dan Pemegang
Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Awang Haji Mohammad
Alimin bin Haji Abdul Wahab.
Kedutaan Besar Diraja Thailand bersama komuniti Thailand di NBD
telah sekian lama menyokong usaha murni Pusat Ehsan melalui
pelbagai aktiviti, antaranya menyumbangkan mesin ‘treadmill’ dan
peralatan sukan pada Mei 2019; menyertai Bazar Amal Pusat Ehsan
Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam pada April 2019 serta Konsert Amal
Festival Bakat pada November 2019.
Turut disertai ialah Acara Amal Pusat Ehsan Charity Hike 3KM pada
September 2020; acara berjalan kaki, larian dan kayuhan basikal
‘Pusat Ehsan Walk, Run & Cycle’ pada Jun 2021; Pusat Ehsan
Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Charity Gala Night pada 30 November
2022; aktiviti sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn Phra
Vajiraklaochaoyuhua pada 28 Julai 2023; aktiviti sempena Sambutan
Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja
Permaisuri Sirikit, Queen Mother yang Ke-92 pada 12 Ogos 2024; dan
aktiviti sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn Phra
Vajiraklaochaoyuhua pada 28 Julai 2025.
Pihak kedutaan besar juga turut menyampaikan sumbangan
kewangan bagi menyokong inisiatif pembinaan dewan solat di
kawasan pusat berkenaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Puja
Usia Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran
Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman (pada 3 Jun 2022)
di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.