Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah menjalankan satu operasi serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan Kampung Selayun, Jerudong.
Serbuan berjaya menahan tiga wanita warga asing berusia antara 37 hingga 49 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. Semua suspek bersama bahan-bahan bukti telah dibawa ke JSJ bagi membantu siasatan lanjut. Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 294A, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
PPDB akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pelacuran dan jenayah tidak bermoral di negara ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan sedemikian adalah diseru untuk menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Talian Kecemasan Polis 993.
Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam membantu memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.