Ketaatan kepada Ulil Amri tonggak keamanan, kesejahteraan negara

23 Jul 2026 - 6:05am

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

TEMBURONG, Rabu, 22 Julai. - Ketaatan kepada Ulil Amri merupakan tuntutan syarak yang menjadi asas kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara.

Selagi mana segala titah, arahan dan dasar tidak bercanggah dengan syariat Islam, umat Islam wajib mentaati Ulil Amri sebagai sebahagian daripada ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Demikian antara inti pati ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Awang Haji Ishkandar bin Haji Buntar bagi menyemarakkan lagi Malam Bercorak Keagamaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun berlangsung di Pentas Perayaan, Pekan Bangar, yang dikendalikan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Temburong, malam tadi.

Menurut Awang Haji Ishkandar, Islam adalah agama yang sempurna dan Islam itu bukan hanya sekadar mengajar ibadah khusus seperti sembahyang, puasa dan zakat, malah mengatur sistem kehidupan termasuk kepimpinan, pemerintahan, keadilan, keamanan dan hubungan antara rakyat dengan pemimpin.

“Tanpa kepimpinan yang dihormati dan ditaati, sesebuah negara akan mudah berpecah-belah, berlaku huru-hara, fitnah serta kehilangan keamanan. Oleh itu, Islam menegaskan kewajipan mentaati pemimpin dalam perkara yang baik demi menjaga maslahat umat,” tegasnya dalam ceramah bertajuk ‘Ketaatan Kepada Ulil Amri Adalah Asas Kemakmuran Negara’.

Awang Haji Ishkandar seterusnya menerangkan maksud firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An-Nisa', ayat 59 iaitu “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah, taatilah Rasul dan Ulil Amri dalam kalangan kamu…” dan ayat itu menunjukkan tiga bentuk ketaatan iaitu ‘Taat kepada Allah’, ‘Taat kepada Rasulullah’ dan ‘Taat kepada pemerintah dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syariat’.

Jelasnya lagi, ketaatan kepada pemimpin bukan bermaksud menyembah atau mengagungkan mereka tetapi mematuhi arahan yang membawa kepada keamanan, kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.

Para ulama tambahnya, mentafsirkan Ulil Amri sebagai pemerintah atau ketua negara, sultan atau raja, menteri dan pentadbir, hakim dan juga pemimpin masyarakat. Sebahagian ulama juga memasukkan para ilmuwan kerana mereka membimbing masyarakat dengan ilmu.

Awang Haji Ishkandar selanjutnya menggariskan bahawa hikmah kenapa Islam menuntut ketaatan antaranya ialah menjamin keamanan, mengelakkan huru-hara, mengukuhkan perpaduan, memelihara agama serta menjaga nyawa, harta dan maruah rakyat. “Tanpa ketaatan kepada sistem pemerintahan yang sah, masyarakat akan mudah berpecah sehingga pembangunan negara turut terjejas,” katanya.

Beliau juga mengongsikan, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Barang siapa yang mentaatiku maka dia telah mentaati Allah, dan barang siapa yang menderhaka kepadaku maka dia telah menderhakai Allah. Barang siapa yang mentaati pemimpin maka dia telah mentaatiku”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) dan hadis itu katanya, menunjukkan bahawa menghormati sistem kepimpinan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama.

Hadir bagi sama-sama menyemarakkan acara tersebut ialah Penghulu Mukim Zon 1, Daerah Temburong, Awang Arbi bin Haji Shahari. Malam itu juga diserikan dengan persembahan qasidah daripada Kumpulan Babussalam.