Kongsi pengetahuan, amalan terbaik pelaksanaan Program Lencana ADASA

25 Jul 2026 - 6:16am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Ihsan Arman Jahran

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan Sesi Knowledge Transfer SEASARC Anti-Drug and Anti-Substance Abuse (ADASA) Badge 2026 bagi berkongsi hasil penyertaan wakil PPNBD dalam SEASARC ADASA Badge Train-the-Trainer (TTT) Workshop 2026 yang berlangsung di Singapore Scout Association dari 9 hingga 12 Julai 2026 lalu.

Sesi perkongsian berkenaan disampaikan oleh Pesuruhjaya Program Belia PPNBD, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi; dan Pengakap Kelana Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Mohammad Syazrol bin Sri Wijaya, selaku wakil rasmi PPNBD yang telah mengikuti latihan berkenaan.

Hadir sama pada sesi berkenaan, Yang Dipertua PPNBD, Ketua Pesuruhjaya PPNBD, barisan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Kebangsaan serta para pemimpin pengakap.

Sesi berkenaan bertujuan untuk kongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh sepanjang latihan kepada kepimpinan PPNBD sebagai persediaan ke arah pelaksanaan Program Lencana ADASA di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Antara yang dikongsikan termasuk latar belakang dan objektif ADASA, pendekatan pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah berasaskan pembangunan kemahiran hidup, struktur tiga peringkat lencana, iaitu Tier 1 – Awareness, Tier 2 – Action dan Tier 3 – Advocacy, serta cadangan pelan pelaksanaan SEASARC ADASA PPNBD.

Pada sesi berkenaan turut dibentangkan cadangan penubuhan Taskforce ADASA PPNBD, kerjasama strategik bersama agensi berkaitan, pembangunan garis panduan tempatan, latihan fasilitator serta pelaksanaan projek perintis yang disasarkan bermula pada Oktober 2026 sebelum diperluaskan secara berperingkat pada 2027.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen PPNBD untuk menyokong usaha pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda melalui pendekatan kepengakapan yang menekankan pembentukan nilai, daya tahan diri, kepimpinan dan advokasi komuniti

Pelaksanaan program berkenaan juga selaras dengan aspirasi SEASARC untuk melahirkan generasi pengakap di rantau Asia Tenggara yang berilmu, berdaya tahan dan berperanan sebagai ejen perubahan ke arah mewujudkan masyarakat yang bebas daripada penyalahgunaan dadah.