Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Sabtu, 25 Julai. – Kumpulan Ameeratul Huffaz yang mewakili Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah muncul sebagai juara pada Peringkat Akhir Pertandingan Nasyid Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab Senegara Tahun 2026M/1447H selepas berjaya memperoleh markah tertinggi sebanyak 96 peratus.
Naib juara disandang oleh Kumpulan Wardatul Iman dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dengan markah 86 peratus, manakala tempat ketiga menjadi milik Kumpulan An-Nur Sarjana dari Sekolah Menengah Seri Mulia Sarjana yang meraih 85 peratus.
Pertandingan tersebut adalah anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu berlangsung petang tadi di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah serta sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Danny bin Aimi.
Sebanyak 22 kumpulan daripada sekolah-sekolah kerajaan, swasta dan institusi di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyertai pertandingan tersebut. Daripada jumlah itu, hanya lima kumpulan berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Tempat keempat dimenangi oleh Kumpulan Sautul Hawraa’ daripada Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, manakala tempat kelima disandang oleh Sautul Qalb yang mewakili Sekolah Menengah Sayyidina Othman.
Antara tujuan dan objektif pertandingan ini adalah untuk menjadikan nasyid sebagai wadah penyampaian ilmu dalam mewujudkan interaksi serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan para peserta, di samping memperkukuhkan syiar dan dakwah Islamiah melalui seni nasyid. Selain itu, pertandingan ini juga diharapkan dapat membina keyakinan diri, memupuk semangat kerjasama serta mengembangkan bakat pelajar melalui aktiviti berkumpulan.