Memperkasa budaya membaca dalam kalangan pelajar

22 Jul 2026 - 6:13am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Selasa, 21 Julai. - Nur Fatin Alisha binti Mohammad Azri dari Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong dan Adam Donsal Jusayan dari Sekolah Cemerlang Abejess masing-masing menjuarai Pertandingan Mari Bercerita 2026.

Menjuarai bagi Kategori 'A' dalam Bahasa Melayu, Nur Fatin Alisha mengetengahkan cerita mengenai 'Misteri di Sebalik Rumah Terbiar'. 

Tempat kedua disandang oleh Nur Aimann Hasbi bin Mohamed Zulkurnaennadilah dari Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien manakala tempat ketiga, Abdul Qarizh Khayrullah bin Abdul Qhairul Muizzadin dari Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien.

Sementara itu, juara Kategori 'B' dalam Bahasa Inggeris, Adam Donsal Jusayan pula mengetengahkan cerita mengenai 'The Boy Who Outsmarted AI'.

Tempat kedua disandang oleh Shaikh Muhammad Ammar bin Mohammad Dzulazmi / Shaikh Mohammad Dzulazmi dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, diikuti tempat ketiga ialah Hanie 'Aishley binti Nasrul Muhaimin dari Sekolah Sunshine.

Pada pertandingan tersebut juga, Nur Aimann Hasbi turut diumumkan sebagai pemenang hadiah Persembahan Terbaik.

Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini, ialah Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan mengungkayahkan projek tahunan DBP, iaitu Pertandingan Mari Bercerita yang bertujuan untuk menarik minat membaca serta memperkasakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Pertandingan Mari Bercerita Peringkat Akhir tahun ini diadakan bersempena dengan Pesta Buku Brunei 2026.

Dengan tema 'Baca Hari Ini, Cipta Hari Esok', pertandingan ini menggalakkan kanak - kanak menghayati nilai membaca melalui penyampaian cerita yang kreatif, imaginatif dan bermakna selaras dengan aspirasi Strategi Membaca Kebangsaan, iaitu membudayakan amalan membaca sebagai gaya hidup dan asas pembentukan masyarakat.

Turut hadir, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pengetua dan guru-guru besar, guru-guru, pegawai, kakitangan kerajaan, ibu bapa dan murid-murid.

Juara pertandingan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND500, naib johan menerima BND400, tempat ketiga menerima BND300 dan hadiah sagu hati sebanyak BND100.

Lapan peserta yang mara ke peringkat akhir juga menerima hadiah tajaan berupa wang simpanan akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bernilai BND200, BND150, BND100 dan BND50 berserta dengan cenderamata, baucar dan hamper daripada BIBD, RHB Bank Berhad, Mangrove Resort Paradise, Aman Hills Hotel, Firoz Jaya Silkhouse Sdn. Bhd., PDS Abattoir Sdn. Bhd., Southern Cross Travel Agencies Sdn. Bhd., D’Sunlit Sdn. Bhd., Zyan Restaurant and Catering, Margheritta Pizza, The Rizqun International Hotel, Pusat Akademi Sukan Memanah Ar-Rafi (PASMA), Royal Brunei Airlines (RB), Ying Bee Company, Little Ummi, Syarikat Samima Sdn. Bhd., Best Eastern, Jerudong Park Country Club, Mashhor General Contractor Sdn. Bhd. dan Restoran Normas Hidayat.