Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Khamis, 23 Julai. – Bagi memperkasa inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ugama, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei I, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menganjurkan Program At-Tatweer : Pertandingan Mencipta Video Pengajaran Kreatif Mata Pelajaran Ugama bagi Guru-Guru Persekolahan Ugama Kawasan Brunei I bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah.
Hadir selaku tetamu khas majlis, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, JPI, KHEU, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan daripada Pengerusi JKPSSU, Kawasan Brunei I, Awang Mohammad Halidi bin Awang Haji Basar yang antara lain menjelaskan bahawa Program At-Tatweer adalah merupakan satu inisiatif yang bertujuan bagi memperkasa dan mentransformasikan pendidikan ugama agar lebih berkualiti, relevan dan memenuhi keperluan semasa.
Jelasnya lagi, ia berfungsi sebagai platform latihan berterusan yang menekankan peningkatan pengetahuan, kemahiran interpersonal, dan sokongan kepada warga sekolah. Program At-Tatweer juga memberi tumpuan kepada pengintegrasian penggunaan teknologi dan inovasi dalam pendidikan ugama.
"Dalam era yang serba moden dan mencabar ini, kepelbagaian kaedah pengajaran memainkan peranan yang sangat penting bagi memudahkan pelajar-pelajar memahami dan mengikuti pembelajaran dengan tekun dan seronok.
"Penggunaan alat bantu mengajar yang bervariasi dapat menarik minat pelajar-pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran, di samping itu juga ia dapat memudahkan pelajar-pelajar untuk memahami isi pelajaran," ujarnya lagi.
Awang Mohammad Halidi seterusnya berkata, inisiatif berkenaan juga memfokuskan kepada peningkatan kemahiran guru-guru dalam menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21, pemerkasaan kompetensi guru melalui latihan dan pembangunan profesional serta menyokong budaya penambahbaikan secara berterusan dalam sistem pendidikan ugama di samping berperanan sebagai satu platform yang menggalakkan penglibatan aktif daripada para guru dalam menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran ugama yang kreatif, inovatif dan berimpak tinggi.
Majlis diteruskan dengan peringkat akhir Pertandingan Mencipta Video Pengajaran Kreatif Mata Pelajaran Ugama.
Majlis turut diserikan lagi dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis, diikuti lawatan ke reruai pameran.
Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran guru dalam menghasilkan bahan pengajaran berasaskan teknologi yang kreatif dan inovatif, di samping menggalakkan penggunaan pedagogi digital serta memperkukuh kualiti pengajaran mata pelajaran ugama selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
Selain itu, program seumpama berkenaan turut menjadi platform kepada guru untuk berkongsi idea dan amalan terbaik dalam penghasilan bahan bantu mengajar digital, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan JPI dalam memperkasa profesionalisme guru serta membudayakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah ugama.