iaran Akhbar dan Foto : Pusat Da’wah Islamiah
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Julai. - Bengkel Asas Dakwah telah melabuhkan tirainya petang tadi dalam satu Majlis Penutupan yang diadakan di Bilik Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah (PDI).
Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengarah PDI, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop merangkap Ketua Bahagian Pengembangan Dakwah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta dan penyampaian cenderahati kepada dua orang fasilitator undangan dari Malaysia sebagai tanda penghargaan atas sumbangan serta perkongsian ilmu sepanjang bengkel berlangsung.
Bengkel yang diadakan selama tiga hari itu bermula dari 21 hingga 23 Julai 2026, telah menghimpunkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PDI.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta didedahkan kepada asas-asas dakwah serta pendekatan yang berkesan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat melalui bimbingan dua orang fasilitator yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.
Penganjuran Bengkel Asas Dakwah ini bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan teknik-teknik dakwah, di samping meningkatkan keupayaan para da'ie dalam mendepani cabaran dakwah semasa.
Sepanjang bengkel, para peserta mengikuti sesi pembentangan, perbincangan dan perkongsian pengalaman yang memberikan pendedahan kepada pendekatan dakwah yang praktikal serta memperkukuh keyakinan dan kemahiran mereka dalam menyampaikan risalah Islam.
Bengkel ini juga diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara PDI dengan institusi-institusi dakwah di peringkat serantau ke arah memperkasa usaha penyebaran dakwah islamiah.
PDI berharap agar ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bengkel ini dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti dakwah di Negara Brunei Darussalam, sekali gus memperkukuh penyampaian mesej Islam dengan penuh hikmah selaras dengan aspirasi Negara Zikir.