Mempertingkatkan kerjasama serantau, global berkaitan perubahan iklim

25 Jul 2026 - 6:01am

Oleh : Siti Rokiah AbdullahFoto : Ihsan Universitas Airlangga, Surabaya

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Negara Brunei Darussalam (NBD) terus memperkukuh sumbangannya dalam wacana antarabangsa berkaitan perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana apabila Pensyarah Program Bahasa Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Muhammad Najib bin Noorashid telah dijemput menyampaikan syarahan dalam Program 6th Summer School anjuran Universitas Airlangga, Surabaya.

Dr. Muhammad Najib yang mewakili NBD telah dijemput bersama 15 pakar antarabangsa daripada pelbagai disiplin, termasuk ahli akademik dari Australia, Croatia, Rusia, Jepun, Laos, Malaysia, India, Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain bagi membincangkan isu-isu berkaitan adaptasi perubahan iklim serta pengurangan risiko bencana.

Dalam syarahan bertajuk ‘Words that Save Lives : Language, Literacy, and Climate Adaptation in Disaster Risk Reduction’, beliau mengetengahkan kepentingan bahasa, literasi dan komunikasi sebagai elemen yang perlu diberikan perhatian dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat menghadapi cabaran perubahan iklim.

Menurut beliau, pendekatan terhadap adaptasi perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana sering tertumpu kepada aspek saintifik, teknologi dan dasar, sedangkan keberkesanan setiap inisiatif tersebut juga bergantung kepada keupayaan menyampaikan maklumat risiko, amaran awal dan langkah-langkah penyesuaian secara jelas, tepat dan mudah difahami oleh masyarakat.

Semasa menyampaikan syarahan, beliau turut berkongsi dapatan awal penyelidikan yang sedang dijalankan mengenai amalan terbaik komunikasi risiko bencana dan adaptasi perubahan iklim di peringkat global dengan menjadikan NBD sebagai antara kajian kes utama.

Katanya, Pendekatan Senegara (Whole of Nation Approach) yang dipraktikan di NBD, di samping penerapan prinsip Maqasid Al-Syariah, memperlihatkan kerjasama yang erat antara agensi kerajaan, pihak berkepentingan dan masyarakat dalam menyampaikan maklumat berkaitan perubahan iklim serta pengurusan risiko bencana.

“NBD mempunyai asas yang kukuh dalam penyelarasan komunikasi berkaitan mitigasi, adaptasi perubahan iklim dan pengurusan risiko bencana. Kerjasama rentas agensi yang berterusan menjadi platform yang membolehkan maklumat penting disampaikan kepada orang ramai secara lebih teratur dan berkesan,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, usaha memperkukuh kerangka komunikasi dan literasi iklim secara lebih sistematik akan membolehkan pengalaman NBD menjadi rujukan kepada negara lain dalam membangunkan pendekatan komunikasi risiko yang lebih menyeluruh.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Brunei Climate Change Office (BCCO), Jabatan Perdana Menteri (JPM) atas sokongan serta perkongsian maklumat yang membantu penyelidikan beliau mengenai komunikasi, literasi dan adaptasi perubahan iklim di NBD.

Program yang berlangsung selama lima hari, bermula 20 hingga 24 Julai, menghimpunkan seramai 162 peserta daripada 42 buah negara yang terdiri daripada pelajar, penyelidik dan pengamal industri.

Bertemakan ‘Strategies for Climate Adaptation and Disaster Risk Reduction from a Multidisciplinary Perspective’, program tersebut menjadi wadah perkongsian kepakaran antarabangsa dalam menangani cabaran perubahan iklim melalui penyelidikan rentas disiplin, inovasi, dasar awam dan pembangunan mampan.

Penyertaan Dr. Muhammad Najib dalam forum berprestij tersebut mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran akademik NBD, sekali gus memperkukuh peranan negara dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu serta kerjasama serantau dan global berkaitan adaptasi perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana.