Operasi Kakas menahan pesalah imigresen

23 Jul 2026 - 5:25am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaaan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Julai. - Dalam usaha berterusan bagi membanteras pesalah-pesalah imigresen yang berada di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Bandar Seri Begawan telah melaksanakan dua operasi penguatkuasa undang-undang di bawah Operasi Kakas 2026.

Sasaran lokasi bagi Operasi Kakas 74/2026 adalah kawasan perhentian bas di Mukim Kianggeh di mana seorang warganegara asing yang diperiksa telah pun ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini.

Sementara sasaran lokasi bagi Operasi Kakas 76/2026 pula ialah sebuah rumah di Mukim Mentiri di mana seramai lima orang warganegara asing diperiksa yang mana dua daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.

Kedua-dua warganegara asing berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini dan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu tidak bekerja dengan majikan asal.

Bagi sebarang maklumat kesalahan di bawah JIPK, sila hubungi talian Hotline Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang di talian +673 8734888 / +673 8753888 (Bandar Seri Begawan) / +673 8984111 (Kuala Belait).