Perhimpunan eratkan silaturahim, jalinkan persahabatan

22 Jul 2026 - 5:54am

Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia 18th SSEAYP Reunion Kapal Belia 1991

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - ‘Persahabatan Tanpa Sempadan’ membawakan makna yang lebih besar bermula apabila serombongan belia daripada tujuh Negara ASEAN dan Jepun berkumpul di Kapal Nippon Maru pada tahun 1991 dalam Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun menjalinkan satu persahabatan yang erat dan berkekalan selama 35 tahun. Tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 pengembaraan tersebut.

Bagi meraikan ulang tahun tersebut, satu perhimpunan antara bekas-bekas peserta rancangan Kapal Belia tersebut telah dihoskan oleh bekas-bekas peserta Negara Brunei Darussalam (NBD). Bekas-bekas peserta dari Jepun, Filipina, Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul bermula 15 hingga 20 Julai 2026.

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk lawatan ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Muzium Alat Kebesaran Diraja, Istana Nurul Iman dan melintasi Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) disamping menikmati hidangan makanan tempatan.

Rombongan juga berkesempatan melawat Ladang Azrul iaitu milik Allahyarham Awang Haji Asmali bin Haji Mohammad, salah seorang bekas peserta yang kini dikendalikan oleh keluarga beliau.

Perhimpunan yang berlangsung semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 turut memberikan peluang para peserta menikmati kemeriahan sambutan-sambutan yang dijalankan.

Perhimpunan ini juga dimeriahkan dengan Malam Jamuan Gala yang turut dihadiri oleh wakil-wakil diplomat dari negara-negara berkenaan, keluarga-keluarga angkat serta bekas-bekas peserta Kapal Belia selain tahun 1991 yang disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan, irama tradisional, sesi bergambar dan tayangan video pendek sepanjang aktiviti program ‘reunion’.