Persembahan ‘Kami Penghibur Biskita’ semarakkan Pentas Perayaan

22 Jul 2026 - 5:59am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Selasa, 21 Julai. - Pentas Perayaan bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026, di Gerai Perayaan Daerah Tutong diteruskan lagi pada malam tadi dengan persembahan ‘Kami Penghibur Biskita’ anjuran Bawah Kem Band.

Persembahan yang diadakan di Pentas Perayaan diadakan di Kawasan Lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, di sini, menampilkan beberapa persembahan nyanyian yang didendangkan oleh barisan Ahli Bawah Kem Band.

Antara lagu yang dibawakan termasuklah lagu ‘Sultan Sanjungan Budi’, ‘Sayang’, ‘Darah Muda’, ‘Mas Joko’, ‘Judi’, ‘Pilihlah Aku Jadi Pacar Mu’, ‘Angin’, ‘Suara Ku Berharap’ dan bermacam-macam lagi.

Pada masa yang sama acara pada malam tadi turut dimeriahkan dengan aktiviti interaktif bersama para pengunjung yang hadir seperti kuiz.

Penganjuran persembahan ini bertujuan menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di samping menghiburkan para pengunjung berkenaan serta memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan di Daerah Tutong.

Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026, bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80.