Persembahan Malam Retro serikan Pentas Perayaan Daerah Tutong

23 Jul 2026 - 6:48am

Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan

 

TUTONG, Rabu, 22 Julai. - Pentas Perayaan Daerah Tutong bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 dimeriahkan lagi pada malam tadi dengan Persembahan Malam Retro.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad.

Acara yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Sinaut dan Sungai Kelugos dengan kolaborasi Neighborhood Band tersebut diisikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu retro yang dikumandangkan bagi menghiburkan para pengunjung yang hadir di Pentas Perayaan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, di sini.

Adapun penganjuran persembahan seumpama ini adalah bertujuan bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan di Daerah Tutong.

Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026 depan bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.